Skip to main
Logo Malaysiakini

Ke mana hilangnya filem-filem lama Melayu di Youtube?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Youtube sebelum ini meriah dengan filem-filem Melayu lama yang kini jarang-jarang dimainkan semula di kaca TV.

Berbanding filem-filem lebih baru, ia juga kurang menjadi pilihan penyedia aplikasi penstriman popular atas talian.

Ingat filem-filem popular seperti Ali Setan (1985), Azura (1984) dan Bukit Kepong (1981)? Persoalannya, ke mana perginya filem-filem itu?

Penyedia perkhidmatan penstriman atas talian Siar yang ditubuhkan pada 2017 antara yang didakwa menjadi punca ‘kehilangan’ itu.

Menjawab soalan Malaysiakini, Ketua Pegawai Eksekutif Siar, Ali Agung bagaimanapun berkata perkara itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada industri.

“Barah orang yang letak di Youtube bukannya isu setahun dua tahun. Sebab saya rasa mungkin sudah sejak Youtube ini ada.

“Dan bagi orang ramai mereka fikir ini tidak mengapa dan tiada isu, macam siapa-siapa pun boleh letak, siapa-siapa pun boleh muat naik dan tiada orang akan kenakan tindakan ke atas mereka.

“Sebenarnya itu yang membunuh industri kita seperti industri filem,” katanya.

Katanya, tindakan mereka bekerjasama dengan penerbit dengan menyediakan platform siaran atas talian dapat membendung masalah cetak rompak yang memberi keuntungan mudah kepada pihak ketiga.

“Bukannya sesiapa sahaja boleh letak di Youtube kerana orang yang berkenaan itu dapat peroleh keuntungan di Youtube itu sendiri,” katanya.

Ketika dihubungi portal ini minggu lepas, Ali berkata banyak penerbit filem klasik bertanya kepada Siar untuk mendapatkan semula hak mereka.

Agung Agung

Menurut Ali, proses menuntut balik filem-filem ini juga menggunakan kos yang tinggi kerana ia bukan satu kerja yang senang.

“Jadi kami bekerjasama,” jelasnya.

“Kita turunkan mana-mana saluran yang memang tidak bertanggungjawab ini, yang sudah langgar hak milik ini semua untuk turunkan semua ini.”

Berkaitan proses penurunannya pula, Ali berkata filem-filem itu dikenal pasti melalui sistem pengecaman kecerdasan buatan yang memadamkan filem-filem berkaitan secara automatik daripada Youtube.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Google sebagai pemilik Youtube, melalui pejabatnya di Malaysia.