Skip to main
Logo Malaysiakini

Ellie mengalah terima vaksin demi hormat suami

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ellie Suriati Omar akhirnya membenarkan dirinya disuntik vaksin Covid-19 walaupun sebelum ini dia tekal menolak kaedah tersebut.

Pun begitu langkah berkenaan diambil selepas dia diberi kata dua oleh suaminya, Azri Iskandar.

“Suami beritahu sudah sampai masanya untuk saya mengubah fikiran mengenai vaksin Covid-19.

“Katanya dia dah beri masa dua tahun untuk bersuara mengenai apa saja yang saya nak berhubung vaksin, justeru kini fikirkan masa depan kerjaya dan anak-anak pula.

“Demi hormat dan patuh pada suami, saya turutkan juga kemahuannya untuk ambil vaksin,” katanya.

Pun begitu, pengarah, penulis skrip dan pelakon itu mengakui permintaan tersebut pada awal amat berat untuk dipenuhi.

“Memang saya berperang dalam diri jugalah sekejap. Suami juga tahu bagaimana saya sayangkan industri seni.

“Dia tahu saya sedih jika tak dapat bekerja dalam dunia seni,” katanya.

Untuk rekod, pelakon Spinning Gasing itu mengakui dia sudah menerima dua dos vaksin jenis Sinovac, yang diambil pada Oktober dan November tahun lalu.

Ellie berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali di sebuah restoran di Mont Kiara sebentar tadi.

Dia akan menjadi jurulatih lakonan filem genre seram itu yang akan dijayakan oleh pelakon seperti Maya Karin, Nabila Huda, Scha Al Yahya dan Farid Kamil.

Telaga Suriram berkisahkan insiden kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram yang mengundang pelbagai versi cerita daripada orang kampung.

Kehilangan Suriram diselubungi kisah saka dan unsur mistik dan teori itu menjadi bualan hangat orang kampung.

Ditanya alasannya berubah hati sedangkan sebelum ini dia seolah-olah lantang menolak vaksin, Ellie berkata dia sebenarnya bukan seperti yang dianggap segelintir pihak.

“Saya bukan seorang antivaksin. Saya ambil vaksin lain seperti BCG, polio dan sebagainya.

“Mengenai vaksin Covid-19, saya cuma suarakan pendapat saya. Tak salah untuk saya suarakan pendapat,” katanya.

Sementara itu, mengulas tawaran kerja diberikan Osman, Ellie berkata ia kerjasamanya yang kelima bersama pengarah tersebut.

“Sebelum ini, saya pernah jadi jurulatih lakonan untuk filem Ombak Rindu, Pilot Cafe, Kau Yang Satu dan Langsuir.

“Saya baru saja balik dari Sarawak jadi 'acting coach' untuk teater Puteri Santubong. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kini saya memberikan fokus untuk filem Telaga Suriram.

“Saya teruja kerana ramai pelakon filem ni merupakan pelakon yang pernah memenangi anugerah terbaik,” katanya.