Scha menuntut dari dua guru demi Telaga Suriram
Demi memberikan sehabis baik dalam filem pertama lakonannya bawah arahan sutradara terkenal, Scha Alyahya tidak kisah berbelanja lebih untuk mengupah Norzizi Zulkifli sebagai guru lakonan.
Kata pelakon, pengacara dan model itu, apabila diberikan tawaran oleh Osman Ali untuk menjayakan watak seorang pegawai penyiasat bernama Karmila, rezeki itu tidak ingin ditolaknya.
“Abang Osman dah beberapa kali tawarkan peluang untuk berlakon di bawah arahannya sebelum ni, tapi memang belum ada kesempatan sebab jadual sering kali bertindih.
“Apabila dia ceritakan mengenai skrip Telaga Suriram dan watak saya serta barisan pelakon lain, jadi saya kira sukar untuk menolak tawaran yang diberi kali ini,” katanya.
Bagi isteri kepada Awal Ashaari itu, watak Karmila ibarat satu tiket untuk dia mempamerkan sisi berbeza yang tidak pernah ditonjolkan kepada penonton sebelum ini.
“Watak Karmila memang berat dan berbeza dengan watak lain yang pernah saya bawa. Tapi itulah cabaran yang saya nak lakukan.
“Saya nak tampil dengan sisi berbeza, dengan kemunculan yang tak pernah ditonjolkan kepada penonton. Mereka tahu selalunya saya bawa watak ringan dan ceria saja sebelum ni.
“Karmila pegawai yang perlu berhadapan orang kampung untuk merungkai misteri kehilangan yang sering berlaku di situ,” katanya.
Belajar tanpa rasa takut
Scha, 38, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran Telaga Suriram di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin.
Naskhah genre seram itu berkisahkan misteri kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram yang mengundang pelbagai versi cerita daripada orang kampung.
Kehilangan Suriram turut diselubungi kisah saka dan unsur mistik malah teori itu menjadi bualan hangat orang ramai.
Selain Scha, bintang utama yang turut menjayakan filem itu ialah Maya Karin, Nabila Huda, dan Farid Kamil.
Ditanya mengapa memilih Norzizi selaku guru lakonan biarpun sudah disediakan guru lakonan oleh pihak produksi, pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya itu menjawab, dia berharap untuk lebih bersedia.
“Saya pilih Kak Zizi kerana pertama, latar belakangnya; kedua, saya rasa dia dekat dengan saya dan kami seperti mempunyai karakter yang sama," katanya.
Untuk rekod, pihak produksi turut melantik Ellie Suriati sebagai guru buat semua pelakon yang terlibat dalam filem arahan Osman yang ke-17 itu.
“Sebelum masuk set hujung bulan ini, semua pelakon akan ada kelas juga bersama Kak Ellie.
“Saya rasa lebih senang untuk belajar tanpa rasa takut. Sejujurnya walapun belum masuk kelas Kak Ellie, saya sudah ada perasaan takut tu,” jelasnya.
Ditanya jika dia ada meletakkan sasaran untuk merangkul sebarang anugerah memandangkan turut berlakon di samping nama-nama besar seperti Maya dan Nabila, Scha berkata: “Saya tak mahu dibebankan dengan sebarang sasaran."
Katanya memang tidak ada salahnya untuk sesiapa meletakkan sasaran apabila melakukan sesuatu namun di pihaknya ia mungkin akan hanya menambah tekanan.
“Saya hanya mahu buat yang terbaik supaya saya tak ‘memburukkan’ filem tu apabila berlakon dengan mereka,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai