Skip to main
Logo Malaysiakini

Dituduh beli sijil vaksin, Ellie enggan peduli umpatan orang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beranggapan dirinya tidak terlepas daripada dilemparkan pelbagai persepsi, Ellie Suriati Omar enggan mengambil pusing sekiranya timbul cakap-cakap belakang menuduh dia membeli sijil palsu vaksin Covid-19.

Pengarah, penulis skrip dan jurulatih lakonan itu berkata, sejak terbabit dunia politik secara tidak langsung, memang banyak pihak gemar menudingnya dengan pelbagai andaian.

“Umum memang suka bermain persepsi apatah lagi kalau mendengar nama Ellie Suriati.

“Saya bukan ahli politik, tapi sejak terlibat sebagai aktivis politik, persepsi sebegitu dah selalu bertebaran,” katanya.

Sebagai seseorang yang menjadi perhatian umum, Ellie yang juga pelakon itu menjelaskan apa saja dilakukannya boleh menjadi buah mulut orang ramai.

“Dia macam ni, bila kamu tak ambil vaksin, orang tuduh antivaksin, sampai tak boleh bagi pendapat. Tapi lain pula halnya bila dah ambil vaksin. Mereka nak menafikan pula.

“Jadi nak apa sebenarya? Disebabkan saya dah berada dalam industri kreatif, kenalah berdepan dengan perkara macam ni,” katanya.

Ellie berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali di Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ellie bertindak selaku jurulatih lakonan, filem itu yang dibintangi Farid Kamil, Maya Karin, Scha Alyahya dan Nabila Huda.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Ellie mengakui dia sudah menerima vaksinasi lengkap Covid-19 Sinovac pada penghujung November tahun lalu.

Katanya, dia terpaksa mengalah dan mengambil ubat pelali itu kerana taat pada perintah suaminya.

Azri pula sebelum itu terpaksa ‘bohong sunat’ pada Ellie memandangkan isterinya itu lantang bersuara mengenai perihal vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, pelakon Spinning Gasing itu berkata, selama belum divaksin, dia juga tidak menjangkitkan wabak itu kepada sesiapa.

“Saya dah pergi bermacam-macam tempat, tapi tak beri orang lain Covid-19. Bila tempoh vaksinasi saya matang, saya naik penerbangan ke Sarawak untuk jayakan teater Puteri Santubong.

“Setakat ni memang saya bersyukur sebab tak dijangkiti Covid-19. Sebelum ni saya juga banyak amalkan pemakanan sihat.

“Jadi tak perlulah jika ada sesiapa nak bermain persepsi dengan saya,” katanya.