Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah bakal bergelar Datuk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi Janji Manismu, Aishah bakal bergelar Datuk tidak lama lagi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Aishah berkata, dia dijadual menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) pada upacara yang akan diadakan pada 22 Januari ini.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan terharu di atas pengiktirafan sebagai anak seni selama lebih 35 tahun.

“Anugerah ini pula datang dari negeri kampung halaman arwah mak,” katanya melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin antara 22 individu yang akan menerima DBNS yang turut membawa gelaran Datuk.

Penyanyi yang turut popular dengan lagu Bahtera Merdeka itu juga merupakan anak kelahiran negeri tersebut.

Aishah pernah menjadi anggota PAS dan aktif berkempen untuk parti berkenaan. Dia pernah bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan mewakili parti itu.

Aishah mula meraih perhatian selepas albumnya bersama kumpulan The Fan Club, Sensation menaikkan namanya ke peringkat antarabangsa.

Dia juga pernah mengungguli Anugerah Industri Malaysia pada 1995 menerusi Persembahan Vokal Terbaik dalam Album dan menjuarai Anugerah Juara Lagu kelima (AJL5) pada 1990.

Aishah, 57, turut meraih gelaran juara Gegar Vaganza musim keempat pada tahun 2017.

Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain mendahului senarai seramai 410 penerima anugerah kebesaran lain sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah Sesi bagi sesi kedua pada 22 Jan dan sesi ketiga pada 27 Jan.