Skip to main
Logo Malaysiakini

Demi Maimon, Nabila Huda 'membisu' di rumah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bagi mendalami naskhah yang memerlukannya berlakon sebagai wanita bisu, Nabila Huda berharap suami dan anaknya bersedia untuk melihat dia lebih banyak mendiamkan diri di rumah.

Pelakon itu berkata, dia perlu membiasakan diri untuk tidak bercakap demi menjayakan karakter Maimon dalam Telaga Suriram, seorang ibu yang mengalami trauma.

“Buat masa ini saya belum boleh bayangkan ekspresi Maimon. Cuma dari segi persediaan fizikal, saya akan gelapkan kulit dan perlu turunkan berat badan.

“Selain tu, saya dah bagitahu pada suami dan anak untuk bersedia melihat saya lebih banyak mendiamkan diri di rumah selepas ini,” katanya sambil ketawa.

Baginya, Maimon bakal memberi cabaran tersendiri kerana dia tidak boleh bercakap sebaliknya perlu banyak bermain dengan ekspresi wajah.

Pun begitu, jelas Nabila atau lebih mesra dengan panggilan Abil, Maimon bukanlah wanita yang bisu sejak dia dilahirkan.

“Saya tak boleh nak kongsi lebih, tapi, dialog Maimon hanya satu peratus saja sebab dia bukan bisu sejak lahir.

“Apa yang saya diberitahu, Maimon sangat rapat dengan Suriram, mereka ibarat adik-beradik. Justeru kehilangan Suriram nanti akan memberi kesan kepadanya,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit, Mont Kiara baru-baru ini.

Selain Nabila, filem ke-17 arahan Osman Ali itu turut dibintangi Maya Karin, Farid Kamil dan Scha Alyahya.

Pelakon M4M4 itu berkata, tawaran diberikan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Osman sebagai wanita bisu dalam filem bergenre seram tersebut sebenarnya sesuatu yang amat sukar untuk ditolak.

“Saya memang mengagumi karya Osman Ali bermula daripada filem Anak Halal lagi. Saya juga dah lama idamkan untuk berlakon di bawah arahannya.

“Bila abang Osman tawarkan untuk bawa watak wanita bisu bernama Maimon, saya tekad untuk buat kerana naskhahnya yang saya anggap luar biasa.

“Saya juga dah lama menantikan skrip dan watak begini. Tak sabar untuk melihat bagaimana abang Osman mahu membisukan orang yang banyak cakap seperti saya,” ujarnya sambil berseloroh.