Skip to main
Logo Malaysiakini

Mawi elak risiko tinggi untuk filem kedua

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kembali mengarah filem kedua, Mawi kali ini enggan mengambil risiko seperti pernah dilakukannya melalui naskhah terdahulu dengan Tiada Tajuk.

Penerbit dan pengarah itu berkata, dia lebih selesa jika buah tangan terbarunya disiarkan melalui platform tayangan Astro First.

“Jika filem pertama saya bawa ke pawagam untuk ditayangkan, kali ini, untuk Hantu Kuat Ketawa platform tayangan yang saya pilih adalah Astro First.

“Bagi saya, sangat berbeza daripada segi kos apabila filem ditayang melalui Astro First berbanding pawagam.

“Peruntukan untuk main di wayang lebih tinggi. Situasi tu menyebabkan risiko pun akan tinggi,” katanya.

Memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Mawi juga yakin penonton akan lebih selesa untuk menonton filem di rumah tanpa perlu memikirkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di pawagam.

“Sekarang bukan masa sesuai untuk saya tayangkan filem di pawagam.

“Memang agak susah untuk penonton ke panggung wayang dengan pelbagai SOP yang ditetapkan.

“Tapi kalau di rumah lebih mudah sebab penonton hanya perlu langgan saja dan dapat menonton secara santai bersama keluarga kerana filem ni sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Mawi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Hantu Kuat Ketawa di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin.

Filem komedi seram itu membariskan barisan pelakon antaranya Saiful Apek, Syanie Hisham, Along Cham dan Zarina Anjoulie Lavocah.

Ia akan ditayangkan selama 48 jam di saluran Astro First 480 bermula 27 Januari ini.

Untuk rekod, kutipan panggung Tiada Tajuk mendapat pulangan balik modal selain disifatkan Mawi menepati sasaran awal.

Berdasarkan Carta Kutipan Filem Cereka 2019 di laman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Tiada Tajuk hanya meraih pungutan RM503,600 untuk keseluruhan tayangan.

Mawi, 40, bagaimanapun berkata dia menghormati penerbit-penerbit dan syarikat produksi yang tetap berani membawa filem terbitan mereka ke pawagam.

“Saya hormat penerbit-penerbit yang berani tayangkan filem-filem mereka di pawagam,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mawi berkata, keputusan untuk tidak menayangkan filemnya itu di pawagam diambil selepas dia menimbangtara dari sudut kos penerbitan serta pemasaran untuk filem itu.

“Promosi dan pemasaran Hantu Kuat Ketawa semuanya akan dilakukan oleh pihak Astro. Di sini sudah ada penjimatan.

“Kalau tayangan di pawagam, syarikat produksi perlu membiayai sendiri kos pemasaran. Dengan Tiada Tajuk dulu, semua saya tanggung sendiri,” katanya.