Skip to main
Logo Malaysiakini

Yassin tak dedah sudah 11 tahun kahwin demi kerjaya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bijak merahsiakan perkahwinannya hingga dianggap bujang terlajak, Yassin Yahya akui dia sebenarnya sudah 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Kata pelakon itu, dia lebih selesa untuk tidak mendedahkan berita perkahwinannya dengan Farah Waheeda Mahadian kepada umum, selain ingin dikenali melalui kerjayanya.

“Saya memang tak pernah berkongsikan berita pernikahan dengan Farah Waheeda, tapi sekiranya ada peminat yang ingin ambil tahu, mereka boleh saja datang dan bertanya.

“Sebabnya, saya lebih suka diri ini dikenali melalui kerjaya dan kejayaan, bukan perihal keluarga,” katanya.

Yassin yang mula dikenali melalui kumpulan Senario itu turut menjelaskan, isterinya juga memahami permintaannya agar tidak mendedahkan diri tanpa sebab.

“Ia sebenarnya adalah salah satu daripada permintaan saya sendiri. Saya katakan kepadanya, jika benar-benar perlu dedahkan, biarlah kena pada waktu.

“Kebetulan saya menyertai pertandingan Gegar Vaganza 8 (GV8). Justeru, saya anggap masa itulah yang paling sesuai untuk muncul sebagai sebuah keluarga depan umum.

“Saya juga tak sangka kisah mengenai isteri dan anak sampai jadi viral di media sosial,” katanya lagi.

Yassin berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Nasi Lemak 1.0 bersama media di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur semalam.

Nasi Lemak 1.0 berkisahkan persaingan antara Hero Huang dan Lan Qiao di mana mereka saling berlawan untuk menentukan siapa yang paling pandai memasak.

Semasa pertandingan sedang berlangsung, satu kejadian misteri terjadi apabila Hero Huang dengan tiga orang sahabatnya kembali ke masa lampau iaitu di zaman Kesultanan Melaka.

Selain Yassin, filem arahan dan dilakonkan Namewee itu turut dijayakan pelakon AC Mizal, Wak Doyok, Saiful Apek, David Arumugam, Delimawati dan Yumi Wong.

Ia dijangka menjengah pawagam pada 27 Januari ini.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video berdurasi 15 saat yang memaparkan Yassin bersama seorang wanita dan kanak-kanak yang dipercayai isteri serta anaknya, menari bersama-sama.

Rakaman itu mencuri perhatian kerana sebelum ini ramai yang tidak menyangka pelawak itu sudah pun berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.

Melalui video dari akaun Warda Waheeda itu, Yassin yang berbaju kuning dilihat melayan isteri dan anak mereka, Puteri Aulia Zawarda, 5, menari.

Ramai yang menyatakan perasaan terkejut kerana itu adalah kali pertama Yassin memperlihatkan isteri - yang raut wajahnya dipuji persis pelakon Janna Nick - dan anaknya kepada umum.

Mengulas penampilan isteri di TikTok, Yassin berkata dia tidak menghalang Farah Waheeda menggunakan aplikasi itu.

“Saya tak halang, semua orang boleh menggunakan TikTok. Saya sendiri pun menggunakan TikTok untuk promosi penampilan Sa.Ya di GV8. Saya nak lihat kuasa TikTok.

“Alhamdulillah, tak sangka, daripada hanya 400 pengikut, akaun @yassinsenariounion kini memiliki hampir 100 ribu pengikut dalam tempoh tak sampai tiga bulan.

“Sekarang sesiapa pun boleh viral, yang penting apa isu kita ketengahkan,” katanya lagi.