Skip to main
Logo Malaysiakini

Radhi usaha langsai RM18,000 hutang perubatan arwah ibu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akibat pendapatan tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19, Radhi OAG terpaksa memikirkan jalan melangsaikan hutang perubatan hospital arwah ibunya sebanyak RM18,000 menerusi konsert amal.

Radhi berkata, sudah tiba gilirannya untuk melunaskan segala bil rawatan memandangkan sebelum ini beban itu sudah banyak ditanggung anggota keluarga lain.

“Ibu saya meninggal dunia pada 21 Januari lalu akibat kanser usus. Arwah dapat tahu penyakit yang dihidapinya itu tahun lalu. Pada waktu itu, kanser sudah masuk tahap empat.

“Semasa hayatnya, segala bil perubatan diselesaikan oleh anggota keluarga, adik beradik selain dibantu rakan-rakan.

“Walaupun pendapatan tidak menentu, sebagai anak yang agak rapat dengan arwah ibu, buat kali terakhir ini biarlah saya pula yang cuba selesaikan,” katanya.

Radhi berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Selebriti Niaga Corner dan Amirul Mart Cawangan Shah Alam di Shah Alam, Selangor semalam.

Buat masa ini, Radhi mengakui dia masih mengharapkan budi bicara pihak hospital agar mengurangkan jumlah bayaran yang ditanggung.

Berkongsi lanjut, pemilik nama penuh Mohd Radhi Razali itu berkata, semangatnya untuk bekerja mulai luntur sejak dia menjaga arwah ibunya.

“Apabila tinggal bersama ibu, saya mengurut, mengemas serta memasak untuknya. Tapi dari segi kerjaya, ia menjadi semakin terhad pula kerana memang saya tak ada hati untuk bekerja bila asyik memikirkan keselamatan ibu.

“Saya jadi tak keruan untuk siapkan rakaman di studio sebab takut untuk meninggalkan arwah walaupun dalam tempoh yang sekejap.

“Saya asyik terbayangkan macam-macam perkara tak elok boleh terjadi. Sebelum ini pernah sekali dia hampir jatuh dan tergelincir,” katanya.

Untuk rekod, Radhi kehilangan Fatimah Wee Abdullah @ Georgina Wee selepas 40 hari dia berdepan berita duka cita berkenaan pemergian Allahyarham abangnya, Termidzi Razali.

Termidzi menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun, 4 Disember lalu akibat menghidap kanser darah dan kulit.

Radhi berkata, persembahan amal itu akan diadakan secara akustik di Bayang Coffee Co. di Taman Tun Dr Ismail pada Mac ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, tarikhnya akan diumumkan kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam Selebriti Niaga Corner di Amirul Mart, Radhi menjelaskan ia sebagai salah satu ikhtiar untuknya terus menjana pendapatan ketika ini.

“Alhamdulillah dapat bekerjasama untuk memasarkan produk keluaran rakan saya, Trisha’s Food iaitu makanan sejuk beku roti puri di semua cawangan dengan Amirul Mart.

“Selain tu, saya juga menjual madu sunnah dan propolis yang dalam proses rekaan label lebih menarik untuk dipasarkan di Amirul Mart. Doakan saya berjaya,” katanya lagi.