Skip to main
Logo Malaysiakini

Mila hadiahkan Nur Heliza, suami majlis sanding

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nur Heliza Helmi dan suami, Mahadi Badrul Zaman beroleh rezeki terpijak apabila diraikan Mila Jirin dalam satu hadiah majlis persandingan semalam.

Nur Heliza pada awal agak keberatan untuk menerima hadiah berkenaan.

Namun, dia akhirnya mengalah kerana mengenangkan 15 tahun persahabatan dengan pemilik empayar bisnes perkahwinan Bizmilla Wedding Centre itu yang dibina sejak sejak sama-sama menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

“Selesai majlis pernikahan serta resepsi, saya dan suami tak ketinggalan diraikan teman baik yang bersungguh-sungguh menganjurkan beberapa majlis.

“Mila sendiri tak ketinggalan. Dia memang berniat untuk hadiahkan majlis sanding sejak sekian lama jika saya kahwin.

“Masa dia suarakan hasratnya, saya terkejut. Malah bertambah segan kerana hadiah yang nak diberikan terlalu besar nilainya,” katanya.

Jelas Nur Heliza, kekihlasan Mila membuatnya “tewas.”

“Dia bersungguh sungguh juga nak memenuhi niatnya yang terbuku itu.

“Akhirnya saya tewas. Lantas saya pun teringat Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menolak hadiah pemberian sahabatnya.

“Saya pun ikut sunnah Nabi dengan menggembirakan Mila,” katanya pada satu kenyataan.

Majlis berlangsung di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor itu mengangkat tema Malam Islamik sebagai meraikan simbolik lebih 10 tahun ukhuwah persahabatan Mila dan Heliza.

Heliza yakin Mila dan perniagaan perkahwinannya menjadi asbab untuk mereka terus mengeratkan serta menyatukan silaturahim sesama insan.

“Penerimaan dan persetujuan hadiah tu juga membuka ruang dan harapan kepada tetamu yang datang majlis itu sama sama berkongsi kegembiraan dan keberkatan.

“Dapat juga rezeki sahabat dan insan lain saya kenali datang ke majlis. Termasuklah teman dan tenaga pengajar AF5.

"Majlis Maulid juga diadakan seperti sebelum ini bertujuan memuliakan Nabi SAW. Turut diadakan majlis bacaan Al-Quran serta perkongsian ilmu bermanfaat daripada golongan asatizah,” katanya.

Berkongsi kisah persahabatan dengan Mila, wanita berasal dari Terengganu itu berkata dia bersyukur mereka dipertemukan.

“Mila cukup bernilai, Masya-Allah. Saya ini tiada apa apa. Dia sangat hebat, baik, solehah dan segala serbi lengkap.

“Tuhan mempertemukan kami di AF5. Kami akrab walaupun tak sentiasa berhubung dan bersua,” katanya.