Skip to main
Logo Malaysiakini

Jualan tudung laris mendadak lepas berhijab - Fazura

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

“Hidup berubah sepenuhnya dan saya nampak perubahan itu,” akui Nur Fazura mengenai peningkatan jualan koleksi tudungnya selepas dia mula bertudung.

Kata pelakon dan penyanyi itu, sebelum ini dia sentiasa berharap agar niatnya untuk menukar penampilan akan sentiasa dipermudahkan Allah SWT.

“Saya usahakan perniagaan sebelum bertudung. Masa tu hanya latih diri pakai (tudung) pada bulan Ramadan tapi saya belum boleh memakai tudung secara penuh sebab masih terikat dengan kontrak.

“Lama-lama, boleh dikatakan, semuanya jadi seiring (selepas bertudung), ia (rezeki) datang dengan sempurna dan mudah untuk saya (perniagaan semakin bertambah),” katanya.

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam gala bagi meraikan para ejen dan stokisnya yang digelar Besties di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu mengakui, dia tersentuh melihat kegigihan Besties atau orang bawahannya sepanjang tempoh empayar perniagaannya dibina.

Kata isteri Fattah Amin itu, pengalaman dan kisah-kisah menyayat hati dilalui stokis dan ejen produk rangkaian keluarannya antara sebab untuk dia terus membantu mereka yang tidak berkemampuan menjana pendapatan terutama di musim perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ada orang dapat makan KFC, tapi lepas tu tak tahu bila boleh dapat makan lagi. Ada yang pernah isi minyak RM1. Ada juga mereka yang menghidap kanser, baru cabut tiub, keluar hospital dah terus pergi ambil stok.

“Rata-rata mereka yang giat berniaga dengan saya ialah suri rumah yang ingin membantu suami mereka kerana kehilangan pendapatan.

“Saya tersentuh dengar kisah-kisah mereka, dan alhamdulillah, saya juga terpilih menjadi orang untuk sampaikan rezeki pada mereka,” katanya.

Tak boleh keluar awal sangat

Fazura, 38, berkata sudah semestinya menjadi satu kepuasan apabila dia dapat memberi peluang kepada sesiapa pun untuk menjana pendapatan.

Justeru, dia berharap perniagaan yang diusahakan sejak belum bertudung itu turut menjadi penyebab orang lain juga menutup aurat.

“Saya dapat banyak maklum balas daripada pelanggan yang terus berhijab sepenuhnya selepas memakai Tudung Fazura. Alhamdulillah.

“Niat saya hanya nak lihat lebih ramai wanita berhijab dan Allah permudahkan,” katanya.

Untuk rekod, Tudung Fazura pernah mencapai rekod jualan tertinggi iaitu sebanyak 200,000 helai tudung untuk sebuah koleksi.

Sementara itu, mengulas soal karier seninya, pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu berkata, kini fokusnya lebih menjurus ke arah perniagaan.

Namun, minat dan hatinya dalam bidang seni masih belum pudar bahkan rindu untuk kembali aktif sekiranya waktu dan skrip yang diterima bersesuaian.

“Mujur saya banyak berlakon untuk kempen Tudung Fazura. Untuk berlakon bagi tempoh lama sukar sedikit ketika ni sebabnya ada anak kecil.

“Saya tak boleh keluar rumah terlalu awal atau pulang terlalu lewat tapi jika ada skrip yang dapat memikat hati dan jadual diberikan pula bersesuaian, insya-Allah boleh dipertimbangkan,” katanya.