Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bersama marhaen melawan korupsi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Pada 18 Mai 1968, Jean Luc Godard berdiri atas pentas Festival Filem Cannes ke-21. Dengan nada yang keras dan tegas dia berkata: “Kita sedang bercakap tentang solidariti dengan kaum pekerja serta kumpulan pelajar, dan kalian masih mahu bercakap soal dolly shots dan close-up. Kalian memang bangang!”

Godard menjeritkan kata-kata itu di Teater Jean Cocteau di Old Palais Croisette yang penuh sesak dengan penulis, penggiat, pembikin dan pengkritik filem serta wartawan.

Dia bersama Francois Truffaut mengambil tempat di pentas dalam dewan tayangan pada pagi itu dengan memperkenalkan diri sebagai The Cinémathèque Defence Committee.

Godard dan Truffaut adalah pendiri dan penggerak The French New Wave. Ia sebuah gerakan pemikiran filem yang mengkritik filem-filem Perancis yang menggunakan konvensi tradisi lapuk.

Mereka turut disertai Andre Bazin, Alain Resnais, Eric Rohmer, Jacques Rivette dan beberapa tokoh lain seperti Agnes Varda dan Claude Chabrol. Pada umumnya mereka adalah penulis.

Mereka kemudian menubuhkan Cahiers du Cinema iaitu sebuah majalah kritikan filem yang sangat berpengaruh. Dari situlah Godard dan Truffaut muncul sebelum mereka terjun ke gelanggang menjadi antara pembikin filem disegani.

Kembali kepada festival filem Cannes ke-21 yang penuh dengan isyarat dan aksi politikal itu.

Truffaut yang sejak awal sudah menangkap perhatian ramai mula bercakap dari atas pentas di hadapan dewan.

“Festival filem ini tidak boleh diteruskan," katanya.

Bersama pelajar, pekerja

Kenyataan itu menimbulkan lebih banyak kegawatan. Keadaan Festival Filem Cannes pada pagi Sabtu yang baru mahu memasuki minggu keduanya itu semakin berat dengan kekecohan.

Di tengah kegawatan dan kekecohan itulah Godard bangun lalu berkata: "Tiada satu filem pun yang ditayangkan pada hari ini yang memperlihatkan masalah sedang berlaku dalam kalangan kaum pekerja dan kumpulan pelajar. Tidak satu pun, sama ada filem arahan Forman, aku, Polanski atau Francois. Tidak ada.

“Kita ketinggalan zaman. Rakan-rakan pelajar kita telah menunjukkan contoh apabila kepala mereka pecah dilumuri darah minggu lalu.

"Isunya sekang ialah, bukannya sama ada kita mahu menonton filem atau tidak. Jelas sekali kita memang perlu menayang dan menonton sebanyak filem yang boleh dan memang itulah matlamat kita.

"Tapi isunya sekarang ialah keperluan untuk menunjukkan sokongan kita sebagai suatu tanda solidariti industri filem bersama gerakan pelajar dan pekerja yang sedang berlaku di Perancis.”

Godard dan Truffaut tahu. Mereka menyedari betapa seni seperti filem mampu meninggalkan kesan yang bersifat kemanusian kepada masyarakat. Justeru kerana itulah mereka tetap berkeras mendesak penganjur untuk segera membatalkan Festival Filem Cannes ke-21 itu.

Ia akhirnya mendapat reaksi balas daripada pengarah festival, Robert Favre Le Bret, yang mengumumkan penutupan sepenuhnya festival berkenaan pada tengah hari keesokan harinya.

Seandainya peristiwa Cannes itu tidak berlaku, pasti seluruh industri filem Perancis akan dipersalah. Festival Filem Cannes juga tidak akan menjadi seprestij yang kita kenal hari ini.

Malah keduanya ia akan dikenang sebagai era of ignorance community (era masyarakat jahil) yang bermegah dengan kejahilan kemanusian, ilmu, moral dan keadilan.

Justeru hari ini Festival Filem Cannes dikenal sebagai suatu pesta yang tidak mengabai serta mendiamkan kepada segala bentuk penindasan. Malah ia memepertonton dan memperlihatkan hal itu kepada dunia.

Menyusahkan semua orang

Hari ini kita di Malaysia kita sedang menyaksikan segala macam kerosakan. Banjir 'istimewa' kerana ia bukan saja membawa lambakan lumpur malah kayu-kayu yang kelihatan dipotong cantik.

Juga ada tanah runtuh, tanah mendap dan jalan berlubang. Semua itu adalah indikator kepada sebuah pentadbiran yang sarat dengan masalah dan wajib dipersoalkan.

Amalan korup seperti membudayakan makan suap, menggelapkan wang badan amal atau yayasan, penyalahgunakan kuasa dan kedudukan - semua itu adalah penyebab kepada kerosakan.

Ia tidak hanya menyusah dan melemaskan penduduk Taman Sri Muda, Hulu Langat, Bentong atau di tempat-tempat yang dibanjiri bah. Ia menyesakkan hidup semua orang.

Kita tahu korupsi itu adalah perbuatan menyamun dan merompak yang tak mungkin boleh didiamkan. Kita malah sangat maklum perbuatan gampang itulah yang selama ini banyak menindas dan merampas hak rakyat.

Perilaku setan itulah yang telah membuat rakyat yang sudah miskin dipaksa menjadi papa kedana.

Di Malaysia, korupsi sudah menjadi suatu penyakit yang sudah bersistem. Hampir tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan apabila korupsi menjadi norma yang sedang diurus sebagai suatu benda halal, malah selalu didiamkan.

Integriti pihak pembasmi rasuah, penguat kuasa institusi parlimen dan sebagainya terlihat begitu memalukan.

Sekali lagi ditekankan: seni khususnya filem dan seluruh penggiatnya wajib berani untuk bersama-sama dengan rakyat. Mereka mesti bersolidariti dengan masyarakat bagi melawan korupsi dan penindas.

Orang filem harus mengetahui, sekolah yang daif dan mundur, hospital awam yang suram dan serba kekurangan, amalan pembaziran melantik menteri, duta dan penasihat yang bergaji mewah serta diberikan pelbagai keistimewaan adalah penyakit yang sedang membunuh hidup kita.

Selepas Sabah, Sarawak dan Melaka, kini rakyat diheret pula ke peti-peti undi dalam permainan politik jijik ciptaan pihak yang itulah.

Seandainya penggiat seni enggan peduli, jika seniman tidak mahu bersolidariti dengan mangsa dan marhaen, malah mencium tangan koruptor, itu sekadar membogelkan lagi kebejatan dalam negara.

Maka bersiaplah kita untuk menerima lebih banyak kehancuran.


HARIS HAUZAH ialah seorang penulis yang sedang berjuang untuk jadi pandai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.