Skip to main
Logo Malaysiakini

'Usah berangan nak menang Oscar, kuasai dulu bahasa filem'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Impian untuk melihat filem tempatan diangkat ke peringkat antarabangsa termasuklah dicalonkan ke Anugerah Akademi atau Anugerah Oscar sememangnya menjadi cita-cita setiap pembikin filem tanah air.

Namun, impian itu hanya akan menjadi sekadar angan-angan jika pengarah tempatan tiada pengetahuan mengenai bahasa filem, kata pengkritik dan penganalisis filem, Hassan Abd Muthalib.

Menurut Hassan, perkara itu juga merupakan masalah utama dunia animasi di Malaysia.

"Kita dah pergi ke peringkat antarabangsa, kita ada perisian terbaik, semuanya ada dan kita ada semua orang yang dah banyak berlatih serta universiti dan kolej-kolej semuanya mengajar animasi.

"Maka work-force (tenaga kerja) itu dah ada tapi apa masalah yang besar? Dia orang ini tak faham bahasa filem.

"Storytelling dan story making, dia orang tak mahir. Storytelling adalah karakter cerita, plot dan sebagainya. Yang itu pun mereka tak mahir," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di kediamannya di Pandan Indah baru-baru ini.

Dakwa Hassan, pelajar di universiti dan kolej yang menawarkan pengajian animasi dan perfileman tidak diajar cara teperinci berhubung subjek berkenaan.

"Dia hanya diajar secara luaran sahaja. Tak boleh, kerana animasi ini adalah kawalan pembuatan filem. Kita akan kawal setiap inci frame. Jadi, story making ini adalah teknik untuk meletakkan cerita kita dalam layar.

"Jadi, filem grammar dengan bahasa filem adalah dua perkara yang berbeza. Kita mahir dengan filem grammar iaitu long shot, medium shot, close up, eye level, above eye level, high-key lighting, low-key lighting itu filem grammar atau nahu filem.

"Tapi, bila disusun sedemikian oleh pengarah maka akan timbullah bahasa filem iaitu bahasa visual yang membolehkan kita memahami banyak perkara yang tersurat dan tersirat dan paling penting adalah apa sebenarnya cerita ini," katanya.

Jelas Hassan, di luar penonton akan nampak inilah ceritanya iaitu cerita jatuh cinta, lawan-lawan dan sebagainya tetapi sebenarnya apa yang pengarah mahu sampaikan tidak diketahui.

"Dia nak cakap tentang kasih sayang sesama manusia. Ambil contoh cerita Gladiator, filem dua jam 25 minit, lawan harimau, lawan gladiator, berperang dan sebagainya. Tapi itu bukan cerita dia, itu cerita yang kita tonton, for ground story.

"Background story dia apa? Tiada yang lebih penting dalam dunia ini daripada keluarga saya dan rumah saya. Itu saja.

"Simple. Idea yang simple akan jadi filem yang hebat dan dia dah terbukti," kata Hassan.

Namun, kata Hassan dia tidak melihat hal itu dalam filem tempatan.

"Kita nak buat filem yang hebat, nak pergi ke Oscar. Kepala otak dia orang.

"Kalau dia boleh lawan India, 50 peratus pun cukuplah, baru boleh cakap nak pergi ke Oscar. Oscar itu filem Jepun pun tak boleh dapat, ini dengan filem kita.

"Maaf cakaplah, 95 peratus pengarah filem Malaysia tak tahu bahasa filem ini.

"Kamu tahu berapa pengarah dan berapa DOP (director of photography) belajar dengan saya tentang bahasa visual? Madnor Kassim, Filus Ghazali, Raja Mukhriz, Indra Che Muda, mereka semua belajar bahasa visual dengan saya. Sebelum ini mereka tak tahu," katanya.

Sebelum ini, filem Malaysia yang masuk dalam senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik di Anugerah Akademi Oscar termasuklah Puteri Gunung Ledang (2005) arahan Saw Teong Hin, Bunohan (2012) arahan Dain Said dan Roh (2021) arahan Emir Ezwan.

Siti Nurhaliza, bayangnya di cermin besar

Filem animasi tempatan, Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal juga hampir melangkah ke pencalonan akhir anugerah berprestif itu dalam kategori Filem Animasi Rencana Terbaik pada tahun ini namun tewas kepada beberapa filem animasi lain seperti Toy Story 4, Klaus dan How To Train Your Dragon: The Hidden World.

Hassan juga berkata dia pernah mengumpulkan beberapa foto bagi menghuraikan apa yang pengarah filem kerap lakukan.

"Saya ambil foto-foto daripada feature film (filem cereka) dan saya huraikan mengapa pengarah buat begitu, begini.

"Jadi, ada empat teori yang sepatutnya diajar di sekolah filem iaitu archetype binary opposition semiotic dengan gestalt psychology.

"Dalam gestalt psychology ini dia hanya ada lima perkara yang perlu tahu. Dia ada banyak prinsip-prinsip dan cara bercerita menggunakan visual.

"Jadi, bila kamu ambil satu syot dan saya tengok ada seorang jurugambar ambil gambar Siti Nurhaliza dia berdiri di sebelah cermin besar. Jadi, kita nampak dia dengan bayang dia, itu salah.

"Syot cantik tapi visual language dia salah. Maknanya Siti Nurhaliza ada masalah psikologi.

"Kamu tengoklah apa saja filem cereka kalau ada syot hero atau heroin dekat cermin cerita dia, dia ada masalah psikologi," katanya.

Tambah Hassan, elemen-elemen bahasa visual ini dia seorang sahaja yang mengajarnya.

"Saya seorang sahaja di Malaysia yang mengajar benda (bahasa visual) ini dan kalau ada yang cakap perkara yang sama, maknanya dia adalah pelajar saya.

"Jadi, yang mana yang dah jadi pensyarah dia berterima kasihlah pada saya kerana dedahkan semua ini. Jadi, tiap-tiap hari dia orang tengok filem dia dah tahu dah siapa penjahat dan akhirnya apa akan jadi.

"Jadi, dalam bidang animasi kalau ini tidak diajar maknanya kita buat story board hanya bakat semata-mata. Tapi story board ini adalah kita bangunkan bahasa visual untuk bercerita secara visual melalui dialog," katanya.

Mengambil contoh filem Razak Mohaideen, kata Hassan apa yang dipersembahkan oleh pengarah itu bukanlah sebuah karya filem, sebaliknya lebih mendekati drama radio.

Razak pembikin filem prolifik telah menghasilkan lebih 40 buah filem, antaranya siri Anak Mami The Movie, Nana Tanjung, Duyung, Potret Mistik dan Bujang Terlajak.

"Kita tutup mata, kita dengar dialog dan kita faham cerita dari awal sampai habis, maknanya dia buat drama radio. Itu bukan filem, tapi kalau kamu tengok filem Shuhaimi Baba yang pertama, kedua dan ketiga - yang lain semua hancur - dia pakai bahasa filem.

"Ada adegan yang kalau kamu tutup mata dan dengar muzik sikit kemudian macam ada orang bercakap dan ada bunyi apa ke, itu nama dia filem.

"Jadi, kamu harus lihat visual untuk faham. Yang ini tak difahami," katanya.

Tiga filem awal Shuhaimi yang dirujuk Hassan ialah Selubung (1992), Ringgit Kasorrga (1995)  dan Layar Lara (1997).

Bagaimanapun, kata Hassan agak malang apabila tidak ada tenaga pengajar yang boleh mengajar ilmu sedemikian.

"Malangnya, pensyarah yang ada di Malaysia juga tidak tahu perkara ini. Jadi, masalahlah dan jika ini tidak dikuasai, kita di sini bukan di sana pun bukan.

"Apa yang diajar sekarang hanya 50 peratus semua tentang teknologi, gunakan software, bagaimana nak lukis story board, bagaimana nak reka karekter tapi macam mana nak reka karekter itu pun 50 peratus saja.

"Walaupun Upin dan Ipin buat kutipan berjuta-juta tapi saya tengok ia tak lebih seperti permainan video di layar yang besar.

"Bahasa filem dia salah. Saya bagi contoh dalam filem Geng Pengembaraan Bermula, seorang budak melambai dua orang jahat yang sedang memandu lori, budak ini duduk di tengah-tengah mereka, tak boleh.

"Dalam gestalt psycology disebut proximity. Kamu pergi law of pragnanz, itu saja kamu perlu tahu. Dan kamu akan master dalam filem bahasa visual," katanya.

Law of pragnanz merujuk taksiran imej yang dilihat samar-samar atau kompleks sebagai bentuk yang paling mudah, kerana tafsiran itu memerlukan usaha kognitif yang paling sedikit daripada otak manusia.