Skip to main
Logo Malaysiakini

Hattan sedih artis kelahiran program realiti tak bertahan lama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hattan berharap stesen televisyen lebih giat memasarkan produk kelahiran program realiti nyanyian terbitan mereka memandangkan jangka hayat setiap peserta untuk kekal dalam industri biasanya tidak bertahan lama.

Kata penyanyi itu, ia berlaku terhadap peserta yang benar-benar baru dalam dunia hiburan dan masih terkapai-kapai mencari hala tuju untuk terus kekal relevan dengan jenama sendiri.

“Kebanyakan penyanyi yang lahir daripada program nyanyian hilang selepas setahun dua mereka memenangi atau memasuki pertandingan.

“Walaupun mereka bukan antara tiga peserta terbaik, tapi jika betul percaturannya, tak mustahil mereka juga boleh jadi artis ternama.

“Pada pandangan saya, stesen TV perlu ada perancangan khusus sekurang-kurangnya untuk juara hingga pemenang tempat ketiga,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin itu berkata dia tidak menyalahkan stesen TV kerana memahami program realiti sebegitu mempunyai baik dan buruknya.

“Saya rasa tak boleh nak salahkan stesen TV semata-mata. Program sebegini bergantung kepada bakat dimiliki, pemasaran dan pembawaan diri,” katanya lagi.

Hattan, 57, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mic On! musim kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia menjadi juri tetap dalam program itu bersama Awie dan Mas Idayu.

Tambah terkilan melihat kelangsungan kerjaya artis zaman sekarang, Hattan berkata dia berasa kasihan kerana penyanyi yang kebanyakannya hanya bergantung kepada pengeluaran single semata-mata.

Menurutnya, situasi kini amat berbeza dengan industri muzik pada masa lalu kerana artis pada zaman itu berpeluang menghasilkan album.

“Kebanyakan artis sekarang tampil dengan single saja, jadi tak ada yang boleh jadi 'big artist'. Sebabnya, kelangsungan kerjaya mereka hanya bergantung kepada single.

“Berbeza ketika zaman saya, Awie dan Mas Idayu, kami ada album. Alhamdulillah kami masih bertahan hingga sekarang.

“Justeru, saya selalu pesan kepada generasi baru, kalau ada modal, buat album, promosi melalui YouTube. Kalau harapkan single, memang tak ke mana,” katanya lagi.