Skip to main
Logo Malaysiakini

Sakitnya masih terasa, kata Aishah selepas diceraikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Baru-baru ini, kisah keruntuhan rumah tangga Aishah mengundang perhatian ramai selepas penyanyi itu berkongsi kisah duka dia diceraikan talak satu melalui aplikasi WhatsApp.

Aishah mengakui dia masih terasa pahitnya pengalaman yang dilalui, namun langsung tidak berniat untuk menghebohkan berita perceraiannya itu kepada umum.

“Hari ini (semalam) terasa sedikit goyang, wartawan mencari saya untuk diwawancara mengenai perceraian. Aduhhh sakitnya masih terasa walaupun saya nampak OK dan tersenyum.

“Saya cuba elak diwawancara hanya untuk bercerita tentang hal itu. Saya tampil untuk jernihkan situasi bagaimana hal ini keluar apabila dijemput oleh sebuah akhbar untuk lakukan persembahan," katanya di Instagram malam tadi.

Tambah Aishah asalnya perbualan mereka berkisar mengenai perkembangan lagu baru dan kehidupan sekarang saja.

"Akhirnya timbul soal status dan saya akui sudah diceraikan. Saya terpaksa jawab untuk jelaskan kedudukan, ni penting untuk mengelakkan fitnah,” tambahnya.

Pada 26 Nov lalu Malaysiakini melaporkan Aishah mengakui rumah tangganya dilanda badai dan dia serta suaminya tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan.

Dan kepada media, penyanyi Kemaafan Dendam Terindah itu kemudian mengakui dia sudah sah bercerai pada 25 Dis tahun lalu.

Aishah juga berterus-terang bahawa dia menangis sebaik membaca kiriman WhatsApps yang diberikan bekas suaminya.

Penyanyi yang juga terkenal melalui lagu Janji Manismu itu berharap tidak ada pihak menuduh sembarangan selepas penjelasan diberikan kepada umum

“Jangan ada pihak tuduh tuduh sembarangan mengatakan saya saja bercerita. Bila ditanya saya jawab tak ada nak dikomen lagi. Cukuplah orang awam tahu kami dah bercerai.

“Kenapa, bila, mengapa dan lain-lain tak perlulah diceritakan. Berilah kami ruang untuk teruskan fasa hidup ni dengan tenang. Yang dah lepas tu biarkanlah berlalu.

“Terima kasih kepada teman-teman, keluarga dan peminat yang mendoakan saya dan anak-anak,” katanya.