Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kembara Seniman Jalanan wajar diingat setiap Februari

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Politik memang bukan sesuatu yang romantis untuk dibualkan. Terutama jika kita sedang berdua-duaan dengan pasangan pada saat dilamun percintaan.

Bukanlah kerana ia terlalu bosan atau tidak mampu membangkitkan ketulenan perasaan, akan tetapi kerana politik itu terlalu mudah menonjolkan kebodohan. Sebodoh rakyat diperdaya katak-katak politik yang mendabik dada mendakwa bahawa berlaku khianat itu adalah hak.

Politik itu jugalah nanti yang akan menelanjangkan ketaasuban fikiran dan assabiyah jenis apa yang seseorang itu imankan.

Cinta sebenarnya bukanlah suatu kata adjektif. Ia bukan hanya tentang mengambar atau mengimaginasikan perasaan. Cinta sebaliknya adalah kata kerja. Ia menuntut banyak usaha, kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan.

Justeru tidak akan romantis bagi orang yang sedang bercinta untuk membicarakan politik dengan pasangannya. Tambahan pula politik kita di sini adalah politik yang menunggang kesewelan.

Politik yang kita amalkan adalah seni pembohongan, kebendaan dan terdesak sehingga melacurkan prinsip demi wang, kedudukan, kuasa dan jawatan. Sedangkan cinta itu mesti dikekalkan sebagai suatu nilai suci.

Ditolak pada saat-saat akhir

Sungguhpun sikap itu harus dipertahankan, tetapi sebaik saja usai menonton filem Kembara Seniman Jalanan, ia tiba-tiba muncul menjadi buih-buih persoalan yang mengganggu fikiran.

Kurang lebih 36 tahun dulu, Nasir Jani telah menghasilkan sebuah filem yang mempertikaikan hal ini - iaitu pertentangan politik yang perlu dijauhkan daripada topik perbincangan dalam alam percintaan.

Tanggal 22 Feb 1986 adalah tarikh yang harus ditanda sebagai hari mengenang filem Kembara Seniman Jalanan. Ia merupakan sebuah filem yang pernah dibenci dan dimusuhi oleh festival filem di negaranya sendiri.

Kembara Seniman Jalanan telah dinafikan haknya apabila tidak semena-mena penyertaan filem itu dalam Festival Filem Malaysia keenam (FFM6) ditolak pada saat-saat akhir.

Panel juri FFM6 mendakwa Nasir Jani menciplak cerita itu, bahkan mereka menganggapnya tidak layak dipertandingkan kerana pemegang watak utama - M. Nasir - bukan warganegara Malaysia.

Pihak yang prihatin kepada dunia perfileman wajar mengusahakan agar Kembara Seniman Jalanan dikenang sebagai karya yang menang. Kita perlu menebus dosa yang dilakukan pada festival lalu.

Tuduhan plagiat yang dilemparkan terhadap Nasir Jani sama sekali tidak benar. Ia berlaku apabila M Nasir gagal memaklumkan mengenai permintaannya kepada Nasir Jani untuk pengarah itu menulis lakon layar filem tersebut.

Sebenarnya M Nasir sudah menyiapkan kisah berkenaan lebih awal dan mahukan seseorang yang lain menulis lakon layar untuk filem tersebut berdasarkan naskhahnya.

Isu plagiat timbul apabila salah seorang juri FFM6 mendakwa M Nasir pernah meminta dia menuliskan lakon layar filem tersebut. Namun hasilnya tidak memuaskan hati M Nasir.

Justeru M Nasir kemudian meminta Nasir Jani menulis lakon layar baru agar filemnya lebih segar, berani dan secocok dengan seleranya. Maka lahirlah Kembara Seniman Jalanan seperti yang kita tonton itu.

Kaya dengan cabaran

Dari situlah kecelaruan timbul. Ia kemudian diperbesar sampaikan hak filem tersebut untuk bertanding ditolak. Boleh jadi itu semua hanyalah alasan murahan bagi menjustifikasikan ketidakadilan yang telah terlanjur mereka lakukan.

Kerana hal yang lebih besar sebenarnya ialah rasa cemburu serta ketakutan terhadap Kembara Seniman Jalanan. Justeru realiti dan kebenaran filem itu harus ditekan, dimalu dan disembunyikan.

Kembara Seniman Jalanan menjadi kukuh dan kuat bukan kerana ia mewacanakan isu cetak yang berleluasa, tapi kerana Nasir Jani sengaja mencampakkan keintiman hubungan cinta samar Bujang dan Ana ke langit dan awan.

Dia mengapungkan kisah cinta itu dengan amat kesederhanaan lalu menjadi angin romantis dengan persekitaran Kuala Lumpur yang kaya dengan cabaran sebagai latarnya.

Ada terlalu banyak dialog politikal di antara Ana dan Bujang yang boleh diperbualkan. Malah subjek-subjek ras, ekonomi, sosial dan kebudayaan yang mereka bicarakan terpancar menjadi mise en scene yang memberikan kepuasan.

Kritikan dalam perbualan mereka memang menyinggung, malah banyak yang menyentak perasan.

Seluruh watak yang membawa kita mengembara ke setiap ceruk lorong, kaki lima, gerai burger, rumah flat, banglo tinggal, Dayabumi, Pasar Seni, Dataran Merdeka dan Bangunan Dewan Bandaraya di Jalan Raja Laut yang selalu sesak dengan bas mini adalah semiotik zaman yang penuh dengan semangat keremajaan yang melawan.

Selepas 36 tahun, Kembara Seniman Jalanan sudah sewajarnya ditabal sebagai sebuah filem ikonik tempatan. Malah stesen-stesen tivi kita wajib mengulang tayangkan Kembara Seniman Jalanan dengan penuh penghormatan.

Tanggal 22 Feb 1986 harus dikenang bukan hanya kerana negara ini pernah menafikan kewujudan Kembara Seniman Jalanan tetapi kerana keunikannya membicarakan kebejatan politik suap dan korup ke dalam sebuah romantis cinta unik Ana dan Bujang.

Kembara Seniman Jalanan harus diulangkan tayangannya pada setiap Februari atas dua sebab.

Pertama, bagi meraikan sambutan hari Wilayah Persekutuan yang disambut setiap 1 Feb, dan kedua, untuk memperingati hari kekasih yang diraikan pada 14 Feb.

Watak pintar dan bijak

Adalah suatu dosa apabila memperkatakan Kembara Seniman Jalanan tanpa memberikan penghormatan terbesar kepada watak Osman Tikus yang berani naik dan berucap di atas pentas sambil kejadian itu dipancarkan secara langsung ke seluruh negara:

“Terima kasih pada panel juri kerana memilih saya sebagai (pemenang) Hadiah Khas. Tetapi saya datang di sini sebagai diri saya peribadi dan sebagai peribadi saya tak terima hadiah. Sebagai pelakon saya terima dan sebagai peribadi saya tak terima. Terima kasih.”

Sampai ke atas pentas anugerah Osman Tikus diperkecil dan ditertawakan orang. Walhal tiada apa yang lebih berkuasa daripada tindakan Pyanhabib yang menolak anugerah tersebut.

Osman Tikus ternyata adalah seorang yang pintar dan bijak.

Pelukis dan penulis grafiti "Ke mana $2.7 biliooon?" yang mati penuh misteri itu mengetahui. Bahawa politik kita adalah politik pembodohan.

Sebab itulah Osman Tikus memilih prinsip untuk setia menjaga kesucian hubungan cinta Bujang dan Ana yang penuh kepolitikan.


HARIS HAUZAH hanyalah penulis hodoh, kurus kering dan berambut panjang yang tak pernah terlibat dengan berbilion duit rakyat yang hilang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.