Jaafar Onn akui watak lembut jadi permintaan
Jaafar Onn mengakui dia bukan saja-saja mengekalkan perwatakan lembut selama 50 tahun berkecimpung dalam industri meskipun segelintir pihak mempertikaikan penampilan itu.
Menjawab tuduhan ‘tidak sedar diri’ yang dilemparkan terhadapnya, Jaafar berkata, karakter lembut yang ditampilkan itu sebenarnya menjadi permintaan sesebuah badan penyiaran hingga kini.
“Ada juga pihak (majikan) yang panggil dan mereka mahu saya kekalkan imej Jaafar Onn yang lembut dan berselendang.
“Saya turutkan saja asalkan taklah keterlaluan,” katanya.
Jaafar bersyukur kerana disebabkan permintaan sedemikianlah, namanya masih kekal relevan dalam platform seni tanah air.
Dan hal itu katanya, berlaku meskipun wujud senario pemain industri yang silih berganti.
“Baru-baru ni saya dipanggil untuk terlibat dengan sebuah program terbitan Astro. Antara semua kru yang terlibat, saya yang paling tua,” ujarnya.
Jaafar berkata demikian ketika ditemui pada pada majlis perasmian Selebriti Niaga Corner dan Amirul Mart Cawangan Shah Alam baru-baru ini.
Terdahulu, Jaafar mengakui ada pihak termasuk anggota keluarga terdekat menuduhnya tidak sedar diri kerana enggan “bertaubat” serta mengubah penampilannya yang lembut itu walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun.
Namun, Jaafar membidas kenyataan itu dengan berkata, dia tidak akan sesekali berpura-pura menjadi bukan dirinya semata-mata kerana mahu memuaskan hati orang lain.
Jual kopi peria katak
Mengulas perjalanan karier seninya, Jaafar berkata, biarpun masih ada tawaran berlakon - sama seperti insan lain - dirinya turut terjejas sepanjang tempoh pengekangan Covid-19.
Katanya, meskipun sudah bersiap-siaga dengan duit simpanan, tetapi jika tidak dapat memastikan ada tawaran baru yang masuk, wang itu lama-lama akan semakin berkurangan.
“Nak buat macam mana, semua orang alami nasib sama. Dulu kalau tak ada tawaran, saya akan berniaga makanan, tapi masa perintah kawalan pergerakan (PKP), tak ada yang menempah makanan.
“Sebab tu penting untuk ada simpanan, tapi bukit kalau hari-hari tarah pun rata juga.
“Sekarang saya mula menjual kopi peria katak, bagus untuk mereka yang ada masalah kencing manis,” katanya.
Jaafar turut menggalakkan mana-mana artis untuk menjadi dropship produknya itu.
Pada masa sama, bercakap mengenai kesihatannya, Jaafar bersyukur dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik.
“Saya tiada kencing manis, jantung atau yang dinamakan penyakit tiga serangkai kerana seorang yang amat mementingkan penjagaan kesihatan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai