Skip to main
Logo Malaysiakini

Puteri Balqis bidas Mia Sara lepas dituduh 'tak dapat didikan agama'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Puteri Balqis menyelar tindakan Mia Sara gara-gara pelakon itu menuduhnya tiada didikan Islam dalam kehidupan sejak kecil.

Kata Puteri Balqis, kenyataan dibuat Mia Sara jelas amat mengecewakan serta bukan saja memburuk-burukkan dirinya malah ibunya, Norashikin Mohd Aziz.

“Saya baru tahu tentang ni. Mengapa selebriti ‘budak-budak’ ni tulis buruk pasal saya dan kehidupan saya dalam TikTok serta meninggalkan komen secara umum? How angelic of you (Baiknya anda).

“Saya disumpah seranah oleh ribuan orang selepas dia tinggalkan komen mengenai saya. Ini amat melukakan hati.

“Ini adalah ibu saya yang diperkatakan. Satu-satunya insan yang menyayangi saya,” katanya.

Baru-baru ini, Puteri Balqis mengejutkan industri hiburan tempatan apabila dia tampil berpakaian seksi yang disifatkan khalayak tidak bersesuaian dengan usianya.

Terdahulu, Mia Sara menciap di Twitter satu kenyataan sebagai respons kepada beberapa pengguna lain.

“Dia tak dididik dengan gaya hidup Islamik sejak kecil, nak tegur silakan tapi usah letakkan kesalahan pada bahunya,” ciapnya.

Susulan itu, Puteri Balqis bangkit membalas kenyataan itu demi mempertahankan ibunya.

Pada masa sama, pelakon itu berkata, selama ini dia dibesarkan untuk tidak bercakap buruk mengenai orang lain sekalipun dirinya disakiti.

“Saya dibesarkan untuk tak memuat naik (foto) rupa yang hanya cantik tanpa memberi ilmu pengetahuan kepada penyokong dan kawan-kawan,” ujarnya.

Dalam nada sinikal, Puteri Balqis juga berkata, seseorang wanita yang bertudung bukan tiket untuk mereka bercakap mengenai keburukan orang lain.

“Saya tak pernah dibesarkan menggunakan tudung sebagai alasan untuk bercakap perkara yang bukan-bukan di belakang media sosial dan demi publisiti. Saya adalah saya.

“Pakai tudung tak memberikan anda akses percuma untuk bercakap buruk tentang orang lain.

“Agama tak memberikan anda akses percuma untuk mendera orang lain. Anda menunjukkan peribadi di depan jutaan pengikut media sosial,” katanya.

Sementara itu, Mia Sara melalui TikTok menafikan dirinya bercakap perkara negatif tentang pelakon tersebut, sebaliknya tampil mempertahankan dirinya.

“Ada saya cakap keluarga dia teruk? Saya cuma cakap jangan hakimi dia sebab tak semua dibesarkan dengan agama.

“Sebaliknya, tegurlah dia elok-elok,” katanya.