Skip to main
Logo Malaysiakini

Janna simpati pada pentaasub hantar mesej, gambar lucah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Simpati - demikian gambaran perasaan Janna Nick terhadap individu yang sering melakukan gangguan seksual dan keghairahan melampau terhadapnya melalui alam maya.

Bagi pelakon dan penyanyi itu, tidak mungkin seseorang yang normal mempunyai kecenderungan untuk perlakuan tidak bermoral sebegitu.

Menceritakan pengalamannya selama menjadi anak seni, Janna mengakui, ada begitu banyak mesej lucah yang diterima melalui Direct Message di Instagram dan sesetengahnya sangat melampau lagi pelik.

Katanya, dia menganggap individu yang menyebarkan pautan, gambar atau video lucah - termasuk gambar kemaluan - itu sebagai manusia 'sakit' kerana jika individu terbabit normal, tidak mungkin mereka bertindak sebegitu.

“Atau mungkin juga dia kesunyian dan kebosanan, jadi saya ada rasa simpati pada mereka,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Nurul Jannah Munir itu, seboleh mungkin dia enggan melayan hal-hal negatif yang dikirim kepadanya kerana ia boleh merebak menjadi sesuatu yang lebih serius dan tidak diingini.

“Saya memang tak layan. Hal macam ni terpulang pada si penerima sama ada nak repost (hantar semula), nak tularkan atau balas balik dan sebagainya.

“Tapi saya tak akan sekat akaun terbabit kerana pasti mereka akan kembali dengan pelbagai akaun lain apabila dia tahu kita dah baca mesej diberikan,” ujarnya.

Tunggu berjam-jam

Janna, 26, berkata demikian pada sidang media pelancaran lagu terbarunya, Gatal, di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur semalam.

Dia juga mendedahkan bagaimana berdepan pengalaman menakutkan apabila ada seorang peminat fanatik yang mengekorinya serta sanggup menunggu dia selama beberapa jam berhampiran rumahnya.

Kongsi Janna individu tersebut tiba-tiba memunculkan diri sewaktu dia terbabit menjayakan suatu uji bakat.

“Saya ternampak lelaki tu empat tahun lalu sewaktu penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur. Dia kononnya datang untuk hadiri sesi uji bakat. Saya perasan wajahnya amat biasa dilihat sebelum ni.

"Tapi beberapa hari kemudian, pengawal keselamatan saya hubungi dan maklumkan ada seseorang menunggu saya dari jam 10 malam hingga 4 pagi di pondok keselamatan.

“Pembantu saya kemudian mengambil gambar lelaki terbabit dan apabila diamati, dia ialah lelaki sama yang hadir dalam uji bakat terdahulu.

"Sebelum tu pun dia dah mesej saya banyak kali. Nasib baik pengawal tu tak benarkan dia masuk sesuka hati,” katanya.

Mengulas sama ada wujud bimbang dengan keselamatan dirinya, Janna yakin dia berada dalam kawalan yang baik setakat ini.

Jelasnya, hal itu kerana dia tidak pernah keluar bersendirian.

“Saya tak pernah berjalan seorang diri, pasti berteman kadang-kadang berdua atau lebih,” katanya.