Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Amanah berlagu sindir pembalakan di Kelantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terkesan dengan isu pembalakan haram dan penerokaan hutan, Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, tampil menyampaikan protesnya secara sinikal dan berseni.

Menggunakan medium lagu, Hazmi - atau lebih dikenali sebagai Jeming - menyanyikan lagu penuh bermakna, Anak Klate Saye Hute (Anak Kelantan Sayang Hutan).

Lagu itu adalah hasil ciptaan Naz, manakala liriknya pula ditulis oleh Hazmi sendiri.

Turut disentuh Hazmi dalam lagu tersebut ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, yang mempertahankan kerajaan negeri berhubung dakwaan penebangan hutan di negeri tersebut.

Adalah lirik Anak Klate Saye Hute ialah:

Tanyo samo hute
Bakpo jadi tere
Nanti jawab hutey
Ado ore duk tebe

(Tanya sama hutan
Mengapa jadi terang
Nanti jawab hutan
Ada orang sedang tebang)

Melalui lagu itu juga Hazmi secara sinis memberitahu orang ramai bahawa "botak" adalah sesuatu yang menarik.

Botak yang dimaksudkan itu bukan saja merujuk kepada penampilan Hazmi yang tidak berambut, malah dikatkan dengan keadaan hutan di Kelantan yang didakwa semakin berkurangan.

Lagu itu turut menyindir kenyataan jabatan perhutanan negeri apabila pengarahnya mendakwa ada sisi positif daripada aktiviti pembalakan terpililh, iaitu membantu kelangsungan hidup harimau.

Kato pejabat hutey
Balok ni molek tebey
Untuk rimau menate
Mudoh cari make

(Kata pejabat hutan
Balak ini elok ditebang
Untuk harimau binatang
Mudah cari makan)

Terdahulu, kerajaan Kelantan mengakui mereka sedar akan kewujudan aktiviti pembalakan haram dan penerokaan hutan simpan kekal di negeri itu, namun menegaskan ia tidak begitu serius.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kes penerokaan haram kawasan hutan simpan negeri dengan aktiviti menanam kelapa sawit.

Tanah itu kemudian dijual pada harga rendah kepada orang ramai.

Namun, ketika ditanya punca pembalakan haram menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Naib Presiden PAS itu menegaskan bahawa tanggapan itu tidak betul.

Anak Klate Saye Hute yang berdurasi hampir empat minit itu dimuat naik ke platform YouTube sejak malam tadi dan mendapat lebih 2,000 tontonan serta hampir 300 tanda suka.

Video muzik Anak Klate Saye Hute itu memaparkan Hazmi yang memakai baju berwarna merah menyanyi dengan berlatarbelakangkan lokasi kesan pembalakan di kawasan tanah tinggi.