Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sehalaman surat buat CEO

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Sebenarnya aku sendiri tak tahu entah mengapa surat terbuka ini harus aku tuliskan. Hal itu kerana aku sedar bahawa aku bukanlah seorang pelakon terkenal yang akan diberi banyak perhatian.

Aku juga bukanlah pengarah filem bergelar yang kata-katanya berbisa dan boleh dijadikan dalil dan nas dalam dunia perfileman.

Aku tahu aku hanyalah seorang penulis murahan. Tulisan-tulisan aku hanyalah berkisar pada ulasan-ulasan filem yang bosan serta tak dipandang orang. Apatah lagi mahu dicerakin oleh ilmuan, budayawan mahupun seorang CEO.

Maka itu aku tahu, aku akhirnya akan mati dan lenyap bersama penulisan yang pernah aku karang. Aku akan reput ditelan waktu, hilang dimakan zaman.

Seperti kata Mansor Puteh dalam bukunya, Kritikan Filem Mansor bin Puteh terbitan 1995: “Sekarang ini apa yang berlaku ialah beberapa orang itu muncul dan mengeluarkan kritikan-kritikan mereka, dan tidak lama diapun hilang entah ke mana. Tidak terdapat persambungan dalam karya mereka. Dan bidang kritikan filem ini juga terbantut dibuatnya.”

Tapi peristiwa membalas-balas komen di media sosial antara aku dengan CEO Finas yang berlaku beberapa hari lalu itu semacam belum reda. Seakan-akan ada luka yang mungkin selama-lamanya akan membekas di dada.

Justeru mungkin kerana itu aku mengarang ayat-ayat ini menjadi surat terbuka.

Pada sekitar Julai 2018, aku menulis artikel berjudul Jangan Salah Pilih Ketua Finas. Di dalam tulisan yang tersiar di portal The Malaysian Insight itu, aku ada menyebutkan: “Badan dan lembaga penting seperti Finas adalah badan pemikir budaya yang harus diketuai oleh manusia pemikir yang faham dan mengerti apa itu revolusi budaya, dan peri penting mengatur strategi perang untuk melawan budaya jahat seperti budaya menjilat dan membodek ketua-ketua dan panel serta ahli jawatankuasa yang menguruskan kekayaan dananya.

“Finas perlu dijauhkan dari budaya popular dengan mematikan cita-cita pihak tertentu untuk mengangkat selebriti cantik dan jelitawan filem menjadi panglima atas nama dan usaha pop-culture kerana apa yang kita perlukan adalah revolusi budaya bagi menghasilkan filem sebagai sebuah produk yang mampu membanggakan bangsa dan negaranya.”

Saranan menutup pintu

Ada beberapa hal yang harus digarishitamkan. Pertama tentang peranannya sebagai pemikir budaya; kedua, berkenaan revolusi budaya bersama strategi perang melawan budaya jahat seumpama pengampu dan penjilat.

Ketiga, budaya populis atau pop-culture yang harus dijauhkan dari badan budaya seperti Finas.

Atas premis tiga perkara itulah maka aku meninggalkan komen pada salah satu status Facebook CEO Finas.

Hal-hal yang disebutkan itu bukanlah suatu hal yang baru. Malah kalau disemak dalam lipatan sejarah, S Romai Nor - sewaktu Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 - pernah mencadangkan agar negara ini menutup terus pintunya kepada filem-filem asing yang tidak bermutu.

Aku yakin S Romai Nor itu percaya bahawa dengan cara demikian saja para penonton kita dapat didedahkan dengan filem-filem yang teguh dan berkualiti.

Hal demikian sekali gus akan menjadi faktor penolak kepada seluruh komuniti pembikin filem negara ini untuk menghasilkan karya yang memiliki ketinggian nilai, ilmu dan falsafah yang mengangkat jati diri serta sejarah sebagai modal memperkenalkan kearifan lokal.

Keberkesanan ramuan sedemikian malah memperlihatkan hasil sepertimana yang dapat dilihat pada industri filem Indonesia, Korea Selatan dan Iran.

Lapan tahun kemudian yakni pada 1979 - melalui esei berjudul Keperibadian Nasional: Antara Cita-Cita Unggul dan Realiti yang diterbitkan Dewan Masyarakat - Prof Shamsul Amri Baharuddin membuat kupasan betapa kebudayaan nasional yang mahu dicipta melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan itu berada jauh dari kebenaran.

Hal itu kerana, menurutnya, kebenaran yang wujud sebagai amalan dalam kebudayaan setiap kaum di negara ini adalah budaya pop dan budaya konsumerisme ciptaan pemodal yang semata-mata bersifat keuntungan dan kebendaan.

Inilah kebimbangan yang aku cuba naikkan menjadi komen teguran sebelum kemudiannya aku dihujani dengan kata sindiran sehingga akhirnya terus disekat di saluran Facebook.

Tak dilayan seperti sepatutnya

Aku tentu saja tidak akan mahu lagi menyebut, mengulas dan mengembangkannya menjadi idea yang berulang-ulang. Sudah terbukti lambakan tulisan yang pernah dihasilkan oleh sekian ramai orang tentang kegagalan Finas itu sudahnya diabaikan.

Penulis murahan seperti aku sememangnya mudah ditekan dan dipersendakan. Aku bisa saja diumpama sebagai orang yang tidak mampu menyumbang atau membawa manfaat. Malah tidak menjadi kesalahan kalau aku mahu dianggap sebagai manusia yang hidup penuh dengan keluh-kesah sampai mengabadikan aku dengan perumpamaan kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Aku, tulisan-tulisan dan surat terbuka ini boleh saja diejek dan dibakulsampahkan. Jadi bolehlah kita bermegah dan perasan akan ada filem Malaysia yang menang Oscar tahun depan sambil terus berpura-pura bahawa industri filem negara ini megah dan tiada banyak masalah.

Kita boleh saja tidak mempedulikan nasib para pekerja filem kita yang tidak dilayan sebagaimana sepatutnya seorang pekerja professional.

Kita boleh biarkan saja industri filem negara kita tidak didukung oleh suatu ekosistem yang membangunkan seluruh segmen perfileman yang merangkumi penontonan, apresiasi, pendidikan, pengurusan bakat, pengarkiban dan pendokumentasian, atau barangkali pameran.

Seorang intelektual tidak mesti seorang sarjana kesenian yang memiliki jawatan tapi semberono mengetepikan suara kecil masyarakat.

Ketahuilah bahawa seluruh anggota masyarakat yang waras dan memiliki fikiran adalah seorang intelektual yang seharusnya didengar dan diraikan.

Aku sedar aku hanyalah seorang penulis murahan. Lalu mungkin kerana itu maka kritikan-kritikan aku sering dilayan dengan kesombongan.


HARIS HAUZAH hanyalah seorang lelaki kesunyian yang masih dalam kesedihan kerana  dunia kesenian Melayu lebih sayangkan pelawak berbanding sasterawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.