Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemunculan semula Slam kian berseri dengan kehadiran Tengku Permaisuri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setelah dua tahun Slam tidak beraksi di atas pentas, kumpulan itu membuktikan mereka masih berbisa lagi malam tadi apabila berdepan 1,500 penonton dalam konsert dengan SOP ketat.

Lebih istimewa persembahan Slam Mentari Muncul Lagi selama dua jam itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Meskipun pada usia 50 tahun dengan fizikal kurus dan tulang belakang semakin membengkok akibat penyakit skoliosis sejak 2019, Zamani Ibrahim kelihatan masih aktif dan mengekalkan vokal yang mantap.

Masalah kesihatan itu juga tidak menghalang Zamani untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya yang bertenaga melalui 17 buah lagu hits sepanjang 30 tahun Slam kekal relevan dalam industri.

Dilabelkan antara kumpulan pop rock dan balada terhebat tanah air, Slam membuka tirai dengan persembahan memukau melalui lagu Biarkannya dari album studio kedua, iaitu Kesan Terbukti yang diterbitkan pada 1995.

Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi seterusnya bergema dengan beberapa lagu hit lain dan malar segar dari album sama seperti Manisnya Rindu, Nur Kasih, dan Kembali Terjalin.

Petikan gitar solo lagu Tak Mungkin Berpaling oleh Shah membuatkan penonton tak sedap duduk kerana ia ibarat menggamit memori seperti di awal kemunculan kumpulan itu dalam persada seni tanah air.

Zamani sempat mengucapkan penghargaan buat peminat kerana mereka setia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 1991.

“Terima kasih kerana setia bersama saya dalam keadaan saya straight (berdiri lurus) ke, bengkok ke (merujuk fizikal tubuhnya yang membengkok) anda masih kekal menyokong kami.

“Saya harap hari ini anda bawa balik kenangan manis” katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada komposer yang banyak menaikkan nama kumpulan itu iaitu Saari Amri dan pengurus Slam, Johan Aziz.

Selain itu, beberapa lagu lain seperti Kurnia, Rindiani, Suratan dan Jika Kau Rasa Getar turut memukau peminat yang bersorak terhibur.

Konsert itu sepatutnya berlangsung pada 17 Januari tahun lalu namun terpaksa ditunda dua kali disebabkan rekod penularan Covid-19 yang membimbangkan.

Selain Zamani dan Shah, persembahan Slam malam tadi turut dijayakan oleh Man (drum), Eddie (keyboard), Paang (percussionist), Syafiq (pemain gitar jemputan) serta Lily (bass) yang diterbangkan dari Singapura.

Kali terakhir Slam membuat persembahan berskala besar sebelum ini adalah pada konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 September 2016.

Untuk rekod, kumpulan itu pernah menerima Anugerah Persembahan Vokal Terbaik dalam Album dan Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun 1997.

Antara pencapaian lain buat Slam yang tersimpan erat dalam sejarah penubuhan mereka ialah memenangi tempat ketiga di Voice of Asia 1997 dan Anugerah Khas di Anugerah Musik Indonesia 1999.

Tidak hanya Zamani, Shah turut diberikan ruang oleh vokalis itu untuk sama-sama menyanyi melalui lagu Biarkan Ia Pergi.

Konsert itu mencapai kemuncaknya apabila Slam mendendangkan lagu yang paling ditunggu-tunggu ramai, iaitu Gerimis Mengundang. Lebih menarik, ia diiringi petikan gitar akustik Shah dan Syafiq.

Namun, Zamani mengambil tempoh untuk berehat sebentar apabila terpaksa duduk untuk menyampaikan lagu yang ke-16 itu memandangkan pergerakannya yang terhad sebelum kembali berdiri semula selang beberapa minit kemudian.

Lebih manis, Zamani turut memanggil Ratu Rock Negara Ella untuk menyanyikan lagu Mentari Muncul Lagi bersama-sama peminat terpilih di atas pentas.

Zamani kemudian mengulangi lagu itu buat kali kedua tanpa peminat berada di atas pentas bersamanya sebelum menutup tirai persembahan.

Konsert Slam Mentari Muncul Lagi dibawakan khas oleh Shiraz Projects Sdn Bhd yang pernah membawakan konsert-konsert seperti Konsert M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan dan Konsert Exists Reunion.

Turut hadir pada konsert berkenaan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu dan rakan-rakan artis seperti Shuib, Neves Pretty Ugly, Ajai, Along Musa dan Radin Era.