Skip to main
Logo Malaysiakini

Sajat ajak mak pindah ke Australia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ibu kepada usahawan kontroversi yang mendapat suaka di Australia, Nur Sajat Kamaruzzaman, Maimon Omar berkemungkinan akan turut berhijrah ke negara itu.

Maimon berkata, dia sekarang menunggu banglo mewah anaknya di Kota Damansara, Petaling Jaya dijual.  

Bagaimanapun, ketika mengulas lanjut Maimon berkata ia masih dalam perancangan.

"Saya memang ada rumah dekat Semenyih tapi kami ingat nak balik kampung. Tapi tak tahulah sebab Sajat pun ada ajak makcik ke Australia, tak tahu mana satu. 

“Tengoklah keadaan macam mana nanti, kita tak boleh beritahu sekarang, ini semua ketentuan Allah SWT.

"Sajat juga ada perancangan untuk belikan saya rumah tapi kalau saya dah duduk di Australia rasanya dah tak perlu dia belikan rumah untuk saya. Saya ikut dia saja ke sana," katanya dalam temu bual bersama Mstar.

Maimon berkata demikian ketika disoal apa perancangannya selepas banglo mewah itu terjual.

Awal Febuari lalu, Sajat dilaporkan berhasrat untuk menjual banglo mewah miliknya pada harga RM9.5 juta.

Menurut wakil kepada Sajat, Nadhia penetapan harga berkenaan adalah mengikut nilai hartanah semasa.

Sementara itu, mengulas sama ada Maimon ada memujuk Sajat untuk kembali ke Malaysia ibu usahawan kontroversi itu menegaskan dia tidak akan berbuat demikian.

"Tak, memang saya tak pernah pujuk dia untuk balik kerana saya tahu risiko dia, saya tak nak pujuk dia. Biar dia buat hal dia disana. Apa pun yang jadi pada dia, apa yang jadi dekat rumah dia saya reda. Itu jalan yang terbaik," katanya.

Sajat sebelum ini berpindah ke Australia selepas diberikan suaka di sana.

Sajat mendedahkan dia berjaya lolos ke Australia dan meninggalkan Malaysia untuk menetap di sana pada 18 Oktober lalu.

Pada 6 Januari lalu, Sajat dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana menghina atau sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.