Skip to main
Logo Malaysiakini

Janna Nick sedia dikritik kerana Gatal, tapi biarlah bersopan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mengakui dirinya masih lagi ‘hijau’ dalam bidang seni tarik suara, Janna Nick berkata, dia sememangnya bersedia untuk berdepan dengan segala kritikan kerana Gatal.

Dia yang turut aktif sebagai pengacara dan berlakon itu bagaimanapun berkata, sekiranya ada dalam kalangan pendengar ingin meluahkan kritikan dan teguran, biarlah ia hadir dengan bahasa yang sopan.

“Kalau dah buat (menyanyi) bermaksud, saya sedia (untuk dikritik). Saya juga yakin yang saya boleh menyanyi. Cuma saya akui, memang perlukan latihan yang banyak.

“Bagi saya, sesiapa pun yang kritik, mereka dialu-alukan berbuat demikian. Saya juga berharap teguran diberikan adalah yang membina dan dengan bahasa yang sopan. Saya boleh terima teguran itu," katanya.

Kata pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu, nyanyian sememangnya bukan bidang yang dekat dirinya setakat ini namun akan cuba membawa kelainan sebagai seorang penghibur.

“Saya harap pendengar boleh lihat sisi lain pada Janna Nick. Saya mahu mereka terhibur tanpa tahu ini adalah Janna Nick yang biasa mereka tengok.

“Saya juga mahu berikan kelainan pada pendengar dalam kerjaya saya lakukan. Tak naklah nanti semua nampak sama,” katanya pada sidang media pelancaran lagu terbaru, Gatal, itu di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu itu merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza.

Buat persiapan rapi

Menurut Janna, 26, sebelum tampil membuat persembahan dia akan memastikan dirinya membuat persediaan rapi.

Misalnya sebelum sesi rakaman, dia mengikuti sesi latihan dan kelas vokal kerana ia dapat membantunya menyanyi dengan lebih baik.

"Kalau dengar betul-betul Gatal, vokal saya jelas, tak ada auto tune melampau,” katanya.

Kongsi pelakon Kimchi Untuk Awak itu, dia pernah berdepan pengalaman hitam sebelum ini apabila diminta membuat persembahan namun tidak bersedia.

Menambah kekecewaan, kata Janna, kejadian itu berlaku selepas dia baru saja dibenarkan keluar dari hospital.

“Ketika itu saya perlu menyanyi di Drama Festival Kuala Lumpur tapi saya pula baru keluar hospital, tak tahu pun kena buat persembahan.

“Rasa terkilan tapi saya tak salahkan orang lain cuma diri sendiri sebab tak cukup latihan dan jadual padat. Lepas ni memang kena lakukan banyak latihan sebelum buat persembahan,” katanya.

Mengulas tajuk Gatal dan mesej ingin disampaikan, Janna berkata, lagu itu berkisah mengenai lelaki sudah berkahwin dan wanita yang menolak godaan lelaki yang sudah berpunya.

Ditanya mengapa dia memilih tajuk dan mesej sedemikian, Janna menjawab secara berseloroh: “Takkanlah saya nak nyanyi macam lagu sekolah.”