Skip to main
Logo Malaysiakini

Kak Ja OK saja gelaran Datin Seri tak disebut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Walaupun bersuamikan seorang tokoh yang berpangkat Datuk Seri, Nur Heliza Helmi tidak kisah jika dia dipanggil Kak Ja saja.

Kata penyanyi dan aktivis kemanusiaan itu, panggilan Kak Ja membuatkan dia cukup selesa untuk berbual bersama-sama teman yang mengenalinya sejak dari dulu selain berasa dekat dengan peminat dan masyarakat.

“Ya, saya masih orang yang sama. Panggil saja Kak Ja. Saya OK saja sekiranya tidak dipanggil dengan sebarang gelaran seperti Datin Seri.

“Biasa bila buat program motivasi dengan pelajar, panggilan Kak Ja tu buatkan kami macam adik beradik,” katanya.

Namun, Heliza, 36, yang juga pelakon itu berkata, dia tidak menolak sekiranya ada antara kenalan atau peminat yang menyapanya dengan gelaran Datin Seri.

“Sekiranya ada juga yang memangil gelaran itu, saya tetap raikan.

“Atau untuk majlis formal atau rasmi kita ikutlah tapi untuk panggilan boleh saja Heliza atau Kak Ja,” katanya.

Heliza berkata demikian ketika ditemui pada sidang pelancaran Road To Heaven di Pawagam P Ramlee Finas, Ampang Jaya, hari ini.

Naskhah diarahkan oleh Nizam Zakaria itu berkisahkan dua beradik Syakilla dan Safieya yang berbeza sikap, prinsip dan impian.

Syakilla mempunyai empati terhadap Palestin dan Safieya mengejar kehidupan glamor di media sosial.

Filem itu akan menjalani 40 peratus penggambaran di Palestin dan selebihnya di lokasi tempatan.

Sementara itu, ditanya mengenai restu suami, Mahadi Badrul Zaman untuk menjalani penggambaran filem di Gaza dan Tebing Barat, Palestin, Heliza menjawab, kerjayanya sebagai anak seni tidak mendapat halangan.

Bahkan katanya, sekiranya ditakdirkan ada rezeki, suaminya itu turut serta ke sana.

“Suami sentiasa menyokong dan doakan saya. Dia selalu ada dengan saya bahkan sewaktu perbincangan untuk filem ini diadakan, dia turut ada sama.

“Insya-Allah, jika ada peluang, suami akan ikut ke sana, Tapi kena lihat dulu perancangannya bagaimana,” katanya.

Heliza dan Mahadi disatukan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pada 1 Januari lalu.