Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 pada balu Abam Bocey
Balu allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali, hari ini menang kes saman fitnah yang difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan memerintahkan Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan membayar ganti rugi kepada Norhidayah sebanyak RM60,000.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Zulqarnain berkata, hantaran dibuat Ali adalah sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan isteri arwah.
“la adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah (plaintif) adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan.
“Apatah lagi jika ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung, masih bersedih dengan kematian pasangan hidup dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” katanya dipetik Kosmo! Online.
Norhidayah, 29, memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh pada Mei 2020 berhubung kenyataan pelawak itu di akaun Instagramnya.
Dakwaan itu antara lain menyifatkan wanita itu seorang balu yang tidak bertanggungjawab. Dia kemudian memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Norhidayah turut memohon satu perintah injuksi bagi menghalang adik iparnya itu menyiarkan sebarang kenyataan fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah dikemukakan Ali Puteh dan tiga anggota keluarga lain terhadap Norhidayah serta usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman dengan kos sebanyak RM13,000.
Dalam saman itu, Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 65; ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd Ridzuan, 42, pada Julai 2020 memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Norhidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube Aliff Syukri.
Temu bual itu didakwa menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif.
Sehubungan itu, Ahli Puteh dan keluarganya memohon satu perintah menghalang Aliff Syukri dan Siti Norhidayah daripada mengeluarkan sebarang pernyataan fitnah.
Mereka juga memohon agar kedua-dua individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dan memadamkan video temubual yang berbaur fitnah tersebut di semua media sosial milik Aliff Syukri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai