Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas menang saman balu Abam bersedekah di surau

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali, meraikan kemenangannya di mahkamah hari ini - selepas menunggu hampir dua tahun - dengan bersedekah.

Melalui hantaran di Insta Story miliknya, Siti Norhidayah memberitahu dia mahu membeli buah-buahan di sebuah gerai untuk disedekahkan ke Surau Nurul Iman di Seksyen 6, Kota Damansara.

Mengiringi perkongsian itu, Siti Norhidayah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sering mendoakan dan memberi semangat kepada dia dan anak, Syed Uthman Hamzah Al Juffrey.

“Terima kasih kepada yang mendoakan saya dan Hamzah. Hari ni saya nak beli buah-buahan dan sedekah kepada jemaah surau.

“Hari ni saya bersedekah di surau. Alhamdulillah lepas hajat. terima kasih yang mendoakan saya dari A to Z,” katanya.

Terdahulu, saman Siti Norhidayah yang difailkannya terhadap adik iparnya, Ali Puteh - atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan - diterima oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulkarnain Hassan, memerintahkan Ali membayar ganti rugi kepada Siti Norhidayah sebanyak RM60,000.

Zulqarnain memerintahkan pembayaran ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan Siti Norhidayah selaku plaintif terhadap Ali Puteh, 33.

Kes saman itu berhubung sebuah hantaran berbentuk penghinaan kepadanya dalam Instagram dua tahun lalu.