Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari wasiat ibu, kenangan dan kebanggaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

"Nanti apabila mak dah mati, tak payah bakar apa-apa. Bakar baju sekolah cukup, sebab mak dulu tak sekolah. Harap-harap mak dapat sekolah di akhirat," demikian kata emak Puah kepada beliau.

Sambil berkata-kata itu, matanya tidak lepas daripada memandang foto ruang penyembahan yang digantung di bilik di rumah Puah.

Semasa ibunya jatuh sakit untuk kali pertama, Puah mengambil keputusan untuk memindahkan ibunya dari Sekinchan ke Kuala Lumpur agar urusan ulang-alik ke hospital menjadi mudah.

Puah dan adik-beradiknya berpakat untuk bergilir-gilir membawa ibu mereka ke hospital.

Untuk membuatkan ibunya selesa, Puah memfoto beberapa keping gambar rumah lama wanita itu dan digantung di tepi katil di dalam bilik rumah Puah.

Ia diharap sedikit sebanyak akan menghilangkan rasa rindu ibunya kepada rumah keluarga mereka di Sekinchan. Foto-foto tersebut juga diharapkan dapat mewujudkan rasa biasa dan selesa kepada ibunya.

Bermula dari situlah maka Puah terfikir untuk mengadakan sebuah pameran.

Taasub kepada jenama

Walaupun fotograpi bukanlah idea awal untuk pameran Family Pride namun setelah melalui pelbagai proses, Puah Chin Kok akhirnya akur kepada minat pertamanya iaitu fotografi.

Tambahan pula Puah memang sudah dikenali ramai sebagai salah seorang pemfoto seni halus yang dihormati. Hasil kerja beliau akan sentiasa diikuti.

Justeru pameran solo kedua Puah ini meletakan beliau pada kedudukan yang lebih kukuh dalam dunia seni catan tempatan.

Puah tidak segera menjawab apabila ditanya apa yang membezakan seorang jurufoto dengan seorang seniman foto.

Namun setelah agak lama, beliau memberitahu bahawa mungkin keterujaan jurufoto kepada kualiti kamera membuatkan mereka lupa untuk menghasilkan imej yang berkualiti.

Puah menjelaskan ‘cerita’ di sebalik salah satu karyanya

Aspek teknikal sentiasa menjadi penghalang kepada ramai jurugambar semasa mereka menghasilkan imej yang boleh dianggap masuk sebagai karya seni halus.

Ketaasuban kepada jenama kamera juga adalah antara sebab mengapa kebanyakan jurufoto asyik dalam menghasilkan foto yang sama walaupun dibekalkan dengan peralatan yang paling baik.

Melihat karya Puah - walaupun tanpa mengetahui sebarang cerita di sebaliknya - sudah memadai. Cerita mengenai betapa setiap satu dari 10 karya yang dipamerkan adalah gambaran kasih kasih seorang anak kepada ibu bapa dan sebaliknya adalah pelengkap kepada himpunan foto yang dipamerkan.

Kebanggaan ibu bapa

Karya Oan Seng Hua's House. Site C, Sekinchan adalah pemula bagi keseluruhan pameran berkenaan.

Foto sebuah meja sembahan yang dihiasi dengan beberapa medal kejuaraan anak-anak tuan rumah itu cukup mengamit perasaan. Ditambah dengan kata-kata Jin yu man tang tertera ketara di tengah-tengah almari berkenaan menambahkan lagi rasa bangga pemilik rumah berkenaan.

Jin yu man tang jika diterjemahkan secara bebas membawa maksud "kekayaan yang melimpah-ruah".

Kekayaan yang digambarkan oleh karya berkenaan bukanlah bermaksud harta benda tetapi kebanggaan ibu bapa terhadap kejayaan dikecapi anak-anak mereka.

Ketika pergi ke sebuah bengkel kereta yang telah lebih 10 tahun beliau langgani, Puah dapati sebahagian besar daripada bangunan tersebut telah musnah dimakan api.

Disebabkan Covid-19, tuan punya bengkel tersebut - yang sudah agak berusia - tidak berusaha langsung untuk membaiki bangunan yang separuh rentung tersebut.

Di sana Puah ternampak sekian banyak piala yang ditinggalkan berhabuk. Apabila ditanya, pemilik bengkel tersebut berkata, kesemua piala berkenaan adalah milik anak-anaknya.

Setelah dewasa mereka tidak lagi mahu menyimpannya, bahkan mereka meminta pemilik bengkel terbabit untuk membuangnya.

Sesuatu yang tidak lagi berharga kepada seseorang boleh jadi sesuatu yang tiada ternilai harganya pada orang lain.

Pemilik bengkel tersebut telah menyimpan kenangan kegemilangan anak-anaknya dengan rasa megah ketika anaknya sendiri tidak lagi melihat piala-piala yang pernah mereka menangi sebagai suatu kebanggaan.

Tak bakar pakaian

Semua medal milik anak pengusaha bengkel tersebut dirakamkan Puah dalam karya yang diberi judul Low Kim Hang's Workshop. Kampung Pasir, Ulu Klang.

Kesemua karya yang dipamerkan adalah sesuatu yang biasa kita lihat di rumah-rumah orang kebanyakan. Perbezaan yang ada mungkin kerana kepercayaan dalam beragama.

Jika patung-patung dan tulisan Cina dalam foto yang dipamerkan ditukar dengan ayat-ayat suci al-Quran misalnya maka ianya masih tetap memberi impak yang sama.

Di sini kita dapatlah difahami bahawa kita ini semua adalah sama. Masing-masing sibuk mencari rezeki untuk keluarga, dan anak-anak adalah sumber kebangaan kita semua.

Karya-karya Puah adalah pandang mata seorang anak yang menghargai pergorbanan ibu bapa. Ianya digambarkan dengan penuh kasih sayang.

Pameran Family Pride berakhir pada 15 Feb lalu namun jika kamu mahu, semua karya berkenaan masih boleh dinikmati secara janji temu.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi Puah Chin Kok secara peribadi untuk melihat sendiri karya-karya yang dipamerkan di Studio Setiawangsa, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Pameran Family Pride ini juga adalah sebuah usahasama seniman terbabit dengan Cendana, iaitu sebuah agensi separa kerajaan yang memfokuskan kepada perkembangan seni tanah air.

Puah dan adik-beradiknya memutuskan untuk tidak membakar pakaian seragam sekolah untuk dihantar kepada roh ibunya, tetapi mereka sepakat untuk meletakkan pakaian tersebut dalam keranda.

Ia kemudian ditanam bersama jasad ibu mereka.