Skip to main
Logo Malaysiakini

Rezeki berganda Floor 88

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rezeki berganda, demikian dapat digambarkan tuah yang mendatangi band Floor 88 apabila mereka berpeluang mengadakan konsert sulung 27 Mac ini, selain keenam-enam anggota kumpulan itu dipelawa untuk menunaikan umrah.

Vokalis Floor 88, Ayie Ilham, berkata lamaran oleh pihak GBH (Grand Barakah Hotel) yang diterima bulan lalu sememangnya sukar ditolak.

“Kami dapat tahu pemilik GBH, Razali Mohd Sham, memang seorang peminat setia. Jadi kami bertemu bulan lalu namun ketika itu ia lebih kepada sesi suai kenal saja.

“Kemudian dia tanya sama ada kami mahu adakan konsert. Pertanyaan tu ibarat membuka jalan dan berasa ini adalah peluang yang sukar untuk dilepaskan,” katanya.

Ayie, 24, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media Eighty8 Infinity Concert, di Grand Barakah Hotel, Ampang, baru-baru ini.

Ditanya kesesuaian perancangan untuk mereka mengadakan konsert ketika negara masih berdepan situasi mencabar Covid-19, pemain gitar kumpulan itu, Zai Hamzah atau Achoi memberi jaminan yang ia akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Akan diingat peminat

Malah katanya, lokasi Eighty8 Infinity Concert di GBH yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 kapasiti itu akan dikurangkan kepada 750 penonton bagi tujuan penjarakan fizikal.

“Seperti yang Ayie katakan, kami dah lama rancang untuk adakan konsert iaitu sejak dua tahun lalu. Tapi Covid-19 memaksa kami mengangguhkan perancangan itu.

“Kini kami tak mahu tunggu lagi kerana konsert ni adalah jawapan kepada persoalan peminat yang mahukan kami mengadakan persembahan.

“Insya-Allah kami akan buat sehabis baik dan persembahkan konsert yang akan diingati peminat,” katanya yang memberi bayangan untuk melancarkan lagu baru pada konsert itu nanti.

Selain Ayie dan Achoi, Floor 88 turut dianggotai Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua). Pada konsert itu nanti, mereka akan menyampaikan 13 buah lagu bersama susunan muzik yang berbeza daripada biasa.

Sain itu, Eighty8 Infinity Concert akan dimeriahkan lagi dengan persembahan Apak Harry Khalifah dan Caramelt Band.

Sementara itu, berkongsi perasaan ditaja untuk menunaikan umrah pada 18 hingga 25 Mei depan, Ayie, berkata, mereka menggigil dan amat terharu kerana impian untuk ke Tanah Suci akhirnya akan tercapai.

“Memang kami dah lama teringin untuk tunaikan ibadah umrah bersama, tapi faktor kewangan menjadi kekangan.

“Kesudian GBH untuk membawa kami menunuaikan umrah menyebabkan saya rasa menggigil… bukan sebab tak bersedia, tapi lebih kepada terkejut.

“Buat masa ni kalau ikut perancangan hanya kami berenam yang akan ke sana. Tapi kalau ada rezeki dan kesempatan, saya harap keluarga kami juga akan turut serta.

“Cuma isteri saya mungkin tak akan bersama ke Tanah Suci sebab dia akan sarat hamil ketika itu,”katanya.