Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Alangkah lucunya industri seni ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Sememangnya ada banyak sejarah yang tidak terpandang, atau sengaja dibiarkan hilang untuk dilupakan.

Misalnya pada Ramadhan - sekitar Julai - 2016 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nekad merobohkan arca Puncak Purnama karya Syed Ahmad Jamal atas alasan yang tidak masuk akal.

Syed Ahmad Jamal bukan sembarangan orang. Dia ialah Seniman Negara, suatu gelaran dan anugerah yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri.

Justeru Ramadan tahun itu disambut dengan penuh kedukaan apabila lolongan komuniti seni dan suara keluarga Syed Ahmad Jamal tidak dihiraukan. Suara-suara yang memohon agar karya seni itu dikekalkan - atau dipindahkan - mungkin didengar, tetapi tidak diendahkan.

Selebihnya adalah sejarah.

Dalam dunia sastera, tujuh karya tulisan Faisal Tehrani diharamkan. Bertahun-tahun Faisal terkontang-kanting bersendirian mempertahankan karya dan kemerdekaan dirinya.

Hinggalah pada 10 Jan 2018 apabila tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa pengharaman karya-karyanya Faisal melanggar hak sebagai warga seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Protes cara tersendiri

Hakim itu juga menegaskan bahawa buku-buku tersebut tidak mendorong kepada apa-apa kekacauan.

Dalam kolumnya Faisal sempat mempertanyakan: “Mengapa para hakim yang akhirnya dapat memahami kognisi dan estetika karya, dan bukannya para sasterawan? Ke mana perginya kajang-kajang kertas yang ditulis oleh sasterawan negara dan retorika para penyair dari persatuan penulis? Ke mana sepahnya dakwat konon sastera itu harus tegak atas kemanusiaan?”

Siapa yang tidak tersayat hatinya tatkala mengenang momen pahit melihat Pyanhabib diketawakan orang industri filem di negarabnya sendiri?

Pyanhabib tidak bodoh sewaktu dia menolak anugerah yang dia menangi sehingga dituduh tidak menghormati majlis yang dihadiri orang kenamaan.

Pyanhabib tahu dia harus berdiri dan menyatakan solidariti bersama teman-teman yang menjayakan filem Kembara Seniman Jalanan dalam sikap dan bahasa protesnya yang tersendiri.

Sewaktu Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 semakin hampir dulu - ekoran kontroversi filem Jagat yang dicalonkan berasingan sebagai filem terbaik bukan bahasa Melayu - Madnor Kassim mengambil sikap membantah.

Dia bukan saja memulaukan acara tersebut, bahkan memulangkan trofi yang telah dimenanginya sebagai senimatografer terbaik ke tangan Ketua Pengarah Finas.

Memang tindakan drastiknya itu - demi mempertahankan maruah filem Malaysia - mengundang reaksi yang pelbagai. Adalah individu tertentu dalam kalangan industri memerli.

“Mengapa tak dipulangkan dengan hadiah wangnya sekali?” katanya.

Perkara paling aneh ialah apabila penganjur FFM ke-28 tetap menyenaraikan Madnor sebagai salah seorang calon yang dinilai juri. Ia berlaku walaupun Madnor sudah mengumumkan penarikan dirinya beberapa hari sebelum acara dijalankan.

Terpaksa guna nama samaran

Demikianlah lucunya bagaimana industri seni kita ini menghormati sikap, menilai seni serta memberikan penghargaan.

Kekecewaan besar juga pernah ditunjukkan oleh U-Wei Haji Shaari sehingga dia menukilkan sebuah surat terbuka kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) Finas.

Melalui surat itu U-Wei mempersoalkan mengapa cadangan filem kenegaraan arahannya, Wangi Jadi Saksi, gagal menarik perhatian panel Finas setelah menjalani semua proses permohonan pendanaan.

U-Wei turut menuntut penjelasan sama ada CEO Finas pada waktu itu mempunyai peranan atau tidak dalam membuat keputusan menolak permohonan tersebut.

Sejarah juga mencatatkan antara 1994 hingga 2000, Nasir Jani yang sebelum itu muncul menggoncang 'ketenangan' dunia filem melalui Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 tiba-tiba disenyapkan.

Nasir langsung tidak diberi peluang untuk terus berkarya dalam industri perfileman. Nama pengarah itu sama sekali 'diharamkan' sehingga dia terpaksa berkarya menggunakan nama-nama samaran bagi melepasi tembok yang dibina orang berkuasa.

Ya, sememangnya ada banyak sejarah seni yang tak terpandang dan tak dihiraukan. Memang ia sengaja mahu dibiarkan hilang dengan harapan akan dilupakan. Sebab itu seni selalu ditepekkan dengan label-label hiburan yang sifar manfaat.

Namun bahagian terbaik daripada detik hitam perfileman yang hanya didiamkan menjadi sejarah terpendam itu adalah tentang momen sejarah itu sendiri.

Kita harus mengakui bahawa industri filem kita tidak maju adalah kerana sikap orang dalam industri itu sendiri.

Memang akan ada tentangan

Kebenaran yang terkandung pada realiti dalam sejarah sememangnya takkan mudah goyah. Lantas apabila sampai masanya ia pasti akan menggugah. Seperti Jebat yang pada zamannya dianggap penderhaka tapi kemudiannya dijulang sebagai pejuang keadilan.

Memang ada kerumitan dalam menjelaskan tentang bagaimana orang seperti Syed Ahmad Jamal, Faisal Tehrani, U-Wei, Pyanhabib, Nasir Jani dan Madnor Kassim boleh diperlakukan sedemikian. Penjelasan dan analisis sejarah itu nanti hanya bakal memberatkan fikiran.

Namun ada gagasan dari sejarah dipendam itu yang harus kita renung.

Seorang filsuf Jerman, Georg Wilhelm Friedrich Hegel, pernah cuba memperihalkan hal itu melalui thesis, antithesis dan sistesis yang dia perkenalkan sebagai dialektika.

Hegel percaya bahawa segala apa yang ada di alam semesta ini terjadi hasil daripada pertentangan antara dua hal yang pada hujungnya melahirkan hal-hal lain yang mendatangkan lebih banyak kebaikan.

Kewujudan Finas sebagai sebuah institusi status quo tentu saja akan mendapat banyak suara tentangan. Finas harus sedar bahawa sejarah-sejarah seni khususnya dalam dunia perfileman tidak boleh diabaikan.

Ini kerana tentangan daripada orang seperti U-Wei, Nasir Jani, Pyanhabib dan Madnor Kassim merupakan sejenis mekanisme perubahan.

Suara-suara antithesis ini harus disintesiskan bagi melengkapkan suatu proses dialektika yang pernah Hegel sebutkan.

Finas harus memahami sintesis dua kumpulan yang bertentangan itu adalah suatu proses bagi mendapatkan kemajuan yang tidak pernah Finas secara berseorangan dapatkan.

Ketahuilah bahawa menyantuni penentang akan lebih banyak memberikan nilai daripada sesekali menyantuni para pelakon di lokasi pengambaran. Santunilah suara-suara tentangan dengan teori dialektika Hegel. Bukannya dengan berkata: “Mai sini jadi CEO Finas.”


HARIS HAUZAH ialah seorang penulis yang percaya seseorang yang berotak seni, akan ada suaranya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.