Skip to main
Logo Malaysiakini

Inteam berjaya harungi sejuk Cabaran 12 jam Syria

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meskipun sasaran kutipan sebanyak RM1 juta tidak kesampaian selepas melakukan ‘Cabaran 12 Jam Syria’ semalam, kumpulan nasyid Inteam tetap berpuas hati dengan dana yang diperolehi mereka.

Anggota Inteam, Hazamin berkata, kumpulan itu yang dapat merasai sendiri cuaca sejuk dan sukar dalam sebuah khemah di kawasan petempatan pelarian gembira kerana berjaya mengutip sekurang-kurang RM840,000 untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri ke-10 di utara Syria.

“Cabaran yang dibuat berlangsung bermula dari jam 11 pagi hingga 11 malam waktu Malaysia atau jam 6 petang waktu Syria.

“Alhamdulillah… kami sangat bersyukur dengan jumlah kutipan yang akan disumbangkan kepada 84,000 pelarian di Syria. Walaupun tak tercapai sasaran RM1 juta, kami sebenarnya tak kecewa.

“Malah kami cukup bangga serta berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya yang menonton live cabaran 12 jam di Facebook rasmi Inteam,” katanya melalui nota suara yang dikirimkan.

Selain Hazamin, cabaran itu turut dilakukan bersama dua lagi anggota Inteam iaitu Rahim dan Syahril.

Hazamin yakin, jumlah itu pasti bertambah dalam tempoh sebelum mereka pulang ke tanah air kerana katanya, ada yang menyumbang nilai besar misalnya RM20,000 dan RM75,000.

“Masih ada lagi penderma yang menyumbang dan Insya-Allah bila nilai tu bertambah, kita mungkin boleh mencapai angka sejuta ringgit.

“Walau kutipan tak capai sasaran, bagi kami cabaran live tu adalah satu usaha yang berjaya dan paling penting, kami dapat bantu seramai 84,000 pelarian Syria.

“Orang kata, ia lebih baik daripada tiada langsung, sekurang-kurangnya kami dapat bantu mereka. Kami amat terharu atas sokongan dan sumbangan yang dihulurkan.

“Yang menyumbang RM10 hingga RM100 juga amat bermakna bagi kempen 12 jam Syria ni,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Inteam hari ini melakukan penggambaran video muzik single terbaru mereka, Selimut Kasih di kem pelarian Syria. Mereka perlu keluar dari Syria sebelum malam menjelma.

Kemudian mereka ke Istanbul, Turki memenuhi jemputan kedutaan Malaysia serta akan mengambil kesempatan melakukan sedikit penggambaran lagi sebelum pulang ke Malaysia esok.