Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya bangga jadi wanita' - Sajat umum tukar status jantina

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman memaklumkan dia telah menukar status jantinanya kepada wanita di Australia.

Menerusi sesi live di Instagram, Nur Sajat, 36, berkata, dia berasa seperti dilahirkan semula dan amat gembira kerana proses menukar status jantina di negara itu mudah dilakuakn.

“Saya gembira sangat semua dah selesai. Saya tukar ‘gender’ saya. Saya rasa selesa menjadi wanita, saya hargai kerana negara ini faham keadaan saya dan saya rasa sangat bebas sekarang.

“Saya boleh jadi diri sendiri, saya bangga menjadi wanita. Terasa seperti dilahirkan semula, ini yang saya mahukan. Saya mahu orang terima saya,” katanya dipetik Kosmo! semalam.

Ketika ditanya pengikutnya sama ada dia akan menukar namanya juga, Nur Sajat berkata dia akan terus menggunakan nama yang sama.

Nur Sajat menjadi buruan selepas gagal menghadiri prosiding Mahkamah Syariah di mana dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atas tuduhan menghina atau sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion di Seksyen 16, Shah Alam.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Sajat telah memohon status pelarian dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Bangkok.

Dia dilaporkan berpindah ke Australia pada Oktober tahun lalu.