Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Koro yang menjentik rasa humor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN BUKU | Sesudah membaca Koro, saya seperti menemui semula seorang Faisal Tehrani yang telah hilang semenjak Sebongkah Batu Di Kuala Berang. Novel Profesor hampir menemukan semula langgam kepengarangan kreatifnya, namun Koro seperti mengimbau semula ke era satira Ketupat Cinta tetapi dengan gaya alegori yang lebih tajam seperti Animal Farm.

Jikalau anda selalu mengikuti tulisan-tulisan pojok Faisal Tehrani, anda bayangkan ia telah berhimpun dan bertukar menjadi Koro, dan anda hampir-hampir saja ditimpa koro apabila membaca novel itu.

Koro merupakan penyakit psikologi; ia merupakan sindrom gangguan jiwa yang melibatkan ketakutan kerana merasakan bahawa penisnya semakin mengecil meskipun pemeriksaan klinikal tidak pun menunjukkan tanda-tanda sedemikian.

Namun di tangan Faisal Tehrani, koro sebagai sindrom delusional yang turut memiliki mitos kebudayaannya yang tersendiri dalam kalangan lelaki Asia Tenggara telah diadun menjadi cerita yang menyindir patriarkisme dan menyinggung rasisme.

Koro mendedahkan bagaimana para lelaki yang memegang kekuasaan begitu takutkan kalau-kalau mereka bangun pagi dengan penis yang mengecut dan menghilang, kerana kehilangan itu bererti kehilangan kuasa untuk merompak hasil mahsul negara, memanipulasi agama, dan mendominasi wanita.

Kehilangan penis bererti kehilangan keperkasaan seorang lelaki.

Koro adalah sebuah novel satira parodi. Parodinya memukul politik dengan menampilkan Negeri Hujung Manani sebagai sebuah negara yang letaknya berbatasan dengan Malaysia (di Selatan), dan Indonesia (di Riau), dan Singapura (Punggol).

Membaca dengan ketawa

Saya memandang Koro sebagai mirip dengan Naratif Ogonshoto yang menciptakan Pulau Ogonshoto untuk menggerakkan plot-plot cerita tentang masyarakat patriarki yang gila kuasa.

Cuma Naratif Ogonshoto yang Anwar Ridhwan hasilkan itu sindirannya lebih halus - meski tajam - tapi Koro Faisal Tehrani adalah lebih menippean dengan bentuk satira yang ringan tapi membawakan komedi gelap juvenalian yang menyengat untuk membungkam patriarkisme dan rasisme.

Faisal Tehrani menjadikan Koro sebagai sebuah novel metafiksyen dengan wabak koro untuk menghukum penis-penis yang sering menggunakan kekuasaan sebagai alat penindasan.

Maka dalam Koro, kita akan melihat bagaimana peranan wanita diangkat untuk membetulkan kekuasaan yang telah rosak, dan bagaimana Negarawan Sejati sebagai seorang wanita berusia 97 tahun yang memahami asam garam Hujung Manani berusaha menggerakkan revolusi bagi membetulkan semula sebuah negara yang telah dirosakkan oleh lelaki-lelaki koro.

Faisal Tehrani

Kalau anda membaca Koro, perhatikan pada nama-nama watak dalam novel tersebut dan bagaimana peristiwa yang melingkungi mereka. Itu tip saya untuk membaca Koro dengan gelak ketawa. Saya tidak mahu rosakkan mood anda untuk membaca novel Koro dengan mendatangkan spoiler, justeru cukup saya hadirkan beberapa petikan daripada novel itu untuk menjentik imaginasi anda sebagai trailer:

“Isteri Penguasa, saya mesti menulis dalam catatan ini, sama sekali tidak berminat dengan pemeriksaan secara medis dan berusaha membujuk saya untuk menyimpulkan bahwa kejadian yang menimpa suaminya adalah sebuah sihir laknat yang maha dahsyat datang dari musuh politiknya. Dia kerap mengatakan, 'Can I advise you something…' dengan nada tinggi.”

“Sepertinya dia teringat akan gelar Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone. Bagi saya, sebuah pepatah Bugis lama mengacaukan pikiran saya; kuasai ‘sesuatu’ lewat tiga cara, yaitu ujung lidah, ujung kemaluan, dan ujung badik.”

“Negarawan Sejati mendapat informasi daripada orang dalam bahawa beberapa menteri kabinet telah terinfeksi koro. Bahkan dia meyakini mufti Hujung Manani yang dijuluki 'Mufti Liverpool' turut menderita koro dan itu terjadi setelah dia berkhutbah agar rakyat Hujung Manani tidak segan-segan mendukung Penguasa sebagai wakil Tuhan di muka bumi.”

“Demi Bosku. Itu obat koro? Jangan bodohi saya. Jangan pernah membodohi saya.”

Apa yang anda dapat cerap daripada fragmen-fragmen tersebut? Atau lebih tepat lagi: siapakah yang anda cerap daripadanya?

Perangai lelaki koro

Dengan empat buah cuplikan tersebut, saya rasa anda sendiri boleh membayangkan serba sedikit bagaimana plot-plot di dalam Koro itu bergerak.

Novel Koro bermain dengan pelbagai sudut penceritaan yang membuatkan kita terasa lebih dekat untuk memahaminya. Plot-plotnya tidak digerakkan secara konvensional.

Uniknya, salah satu bab dalam Koro yang bertajuk Pertunjukan ditampilkan dalam latar persembahan pentas, dan kita seperti sedang membaca sebuah skrip drama yang dinovelkan.

Dalam persembahan pentas tersebut, Koro dibahaskan dalam bentuk sejarah yang yang dibangkitkan sehingga ke era Sriwijaya bagi memerihalkan perangai lelaki-lelaki koro berkenaan.

Dalam kesejarahan tersebut, kita akan melihat bagaimana ketempangan politik kejantanan yang wujud pada masa lampau bersusur galur sehingga ke sekarang.

Tumpuan utama Koro ialah membungkam patriarki, seksis dan rasis. Tiga perkara itu menyimpulkan penceritaan Koro yang pelbagai dengan plot yang bersimpang siur.

Saya melihat tiga titik punca itu tidaklah didatangkan secara tiba-tiba, melainkan seorang politikus yang memiliki pemikiran Machiavellian akan memiliki ketiga-tiga cara fikir tersebut sebagai alatnya untuk mengekalkan kekuasaan.

Politikus yang berfikiran sebegitu amat takut kalau-kalau wanita pula yang memegang kekuasaan, kerana sistem kekuasaan berbentuk maskuliniti sebegitu akan menemui kegagalan apabila dikawal dan diruntuhkan oleh wanita yang memiliki kualiti feminiti yang tinggi.

Saya sebetulnya tertarik apabila Koro mendatangkan suatu tafsiran terhadap peristiwa pengislaman Parameswara dalam Sejarah Melayu. Begini petikannya:

“Perempuan itu keluar dari dalam lukisan, berjalan tanpa sehelai pakaian di hadapan saya. Perempuan itu tertawa dan berkata: 'Bukankah penis adalah segalanya bagi orang Melayu? Raja Melayu pertama memeluk Islam kerana takjub melihat penisnya dikhitan selepas bermimpi - yang konon katanya bertemu nabi'."

Tafsiran tersebut membuka ruang perbahasan sosiologis yang lebih meluas dalam mentafsirkan teks hikayat dari aspek gender dan seksualiti. Tetapi ianya suatu paparan tafsiran yang menarik untuk kita renungkan persoalan: Kenapa kisah pengislaman seorang penguasa itu datang dengan iringan keajaiban yang melibatkan hal ehwal penisnya sekali?

Persoalan itu tidak akan sekali-kali kita abaikan sekiranya kita tahu bahawa sesebuah hikayat itu tidak ditulis daripada khayalan-khayalan kosong melainkan merujuk kepada sejarah dan mitos yang mewakili cara fikir kelompok kebangsawanannnya.

Biarkan masalah mendominasi

Setidak-tidaknya, dalam suatu fragmen ringkas sebegitu, Koro melorongkan kita kepada suatu persoalan yang terkait dengan mitos kebudayaan kerana sindrom koro itu sendiri kebanyakannya wujud di negara-negara yang memiliki tradisi patriarkisme yang kuat. Sebab patriarkisme telah membina suatu perasaan ke dalam diri seorang lelaki supaya menjaga penisnya dengan baik.

Perasaan yang terlampau kuat tersebut membina ketakutan yang tidak bersebab sehingga menimbulkan delusi terhadap penisnya.

Mungkin bagi ramai orang novel yang membawakan naratif terkait alat kelamin ini adalah sesuatu yang tabu dan dianggap jijik. Tetapi, itulah, rasa jijik itu timbul daripada persekitaran maskuliniti toksik yang menyebabkan ramai orang tidak cuba untuk belajar menghadam apa sebenarnya permasalahan sosial yang wujud di sebalik hal-hal 'tabu' yang mereka tidak mahu bicarakan itu.

Maka lahirlah masyarakat yang misoginis dan homofobis serta tidak mengambil serius akan isu-isu keganasan domestik.

Disebabkan pendiaman masalah yang terkait dengan seksualiti itulah maka masyarakat - tanpa sedar - membiarkan masalah-masalah lain yang lebih besar terkait patriarkisme dan kekuasaan yang telah mendominasi masyarakat sampai ke hari ini.

Novel Koro muncul tepat pada waktunya ketika kita semua mengalami wabak Covid-19 yang menular kepada semua orang tanpa mengira siapa. Sebabnya, Koro itu sendiri bercerita tentang wabak; cuma sahaja wabak koro itu tidak menular sesuka hati melainkan kepada lelaki-lelaki patriarki.

Jadi, membawa Koro pada waktu-waktu pandemik ini membuka ruang tafsiran dan imaginasi kita terhadap segala-gala yang terjadi; dan ya, jangan lupa sejak era Covid-19, kes-kes keganasan domestik mencanak tinggi.

Novel Koro sedang menunjukkan perkara itu, dan harap-harap para pelakunya itu benar-benar mengalami koro.

Oh ya, saya kira, kalau anda tidak gelak berdekah-dekah dengan komedi gelap Koro, barangkali ada dua sahaja sebabnya:

Pertama, anda tidak mengambil tahu tentang kisah-kisah negara dan masyarakat sekeliling.

Kedua selera humor anda telah meninggal dunia.


A MUZIRU IDHAM ialah pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, iaitu sebuah komuniti anak muda yang memperjuangkan wacana intelektual alternatif demi mencapai keadilan sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.