Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sakit hati' dorong Fauziah belajar demi segulung sijil

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Biarpun berpengalaman luas dalam bidang lakonan, dramatis terkenal Fauziah Nawi tetap berasa 'sakit hati' apabila bayaran yang diterima sebagai tenaga pengajar dirasakan tidak setimpal.

Katanya, disebabkan tidak memiliki sijil pengiktirafan yang sepatutnya dalam bidang akademik, dia menerima nasib kurang baik dari sudut bayaran berbanding tenaga pengajar muda yang memiliki kelayakan.

Justeru pelakon berkenaan menyambung pengajiannya dan menghabiskan masa selama tiga tahun bagi menyempurnakan tugas tersebut.

Diploma berkenaan, kata Fauziah, menjadi nilai tambah untuknya sama ada sebagai pelakon mahupun tenaga pengajar dalam bidang lakonan.

“Apabila bercakap soal bayaran, kadang-kadang saya berkecil hati juga sebab majikan tak melihat (menilai) pada pengalaman sebaliknya pada sijil kelayakan yang dimiliki seseorang,” jelasnya.

Pelakon berusia 68 tahun itu juga berkata, sebagai graduan, menerima segulung diploma itu membawa nilai yang lebih bermakna selain diiktiraf sebagai pelakon terbaik.

Dapat dorongan anak-anak

Dan tutur Fauziah, dia kini memahami mengapa ramai orang yang sudah berusia sepertinya - malah dalam industri yang sama - masih berlumba-lumba untuk memiliki segulung sijil daripada pegawai penilai yang bertauliah.

“Sebelum ni, saya dah menerima ijazah sarjana daripada Open University Malaysia pada 2018.

“Dan saya sudah faham kenapa orang seronok sangat naik atas tu (terima sijil) sebab perasaan tu sangat berbeza daripada menerima anugerah sebagai pelakon terbaik,” katanya.

Fauziah menerima Anugerah Pencapaian Industri Kreatif Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem di Majlis Konvokesyen Meatech 2022 di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras, semalam.

Lebih menarik, Fauziah turut menamatkan pengajian bersama anaknya, Siti Nor Fateha, 44, dalam bidang sama.

Selain Fauziah, turut hadir di majlis konvokesyen itu ialah pengarah Zulkifli M Osman dan pelakon, Ebby Saiful.

Mengulas sokongan yang diterima, kata Fauziah, sebelum ini dia memang langsung tidak terfikir untuk melanjutkan pengajian lagi.

Namun, melihatkan situasi diri yang tidak berubah-ubah dari sudut kewangan, dia akhirnya mengambil keputusan itu dengan dorongan anak-anak.

“Memang saya tak nak belajar sebab semuanya teori, saya seorang yang praktikal. Saya juga takut untuk menulis.

“Selain tu, selalu terfikir kalau saya belajar siapa nak tanggung pembelajaran mahupun kewangan saya.

“Syukur, ada anak-anak yang amat membantu selain mendapat galakan daripada Ahmad Idham (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional),” katanya.