Skip to main
Logo Malaysiakini

'Baling tak tiru Santana'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi Asheed Def Gab C menafikan lagu terbarunya, Baling meniru Black Magic Woman yang dipopularkan band rock AS, Santana.

Namun, dia mengakui Baling mempunyai irama seiras lagu tersebut yang awalnya dinyanyikan penyanyi asal, band rock British-Amerika, Fleetwood Mac pada 1968.

Jelas Asheed, dia terpanggil untuk membawa Baling selepas mendengar demo lagu berkenaan yang mempunyai persamaan dengan lagu-lagu rock Santana.

“Genre sebegini dah jarang dibawa oleh mana-mana artis dekad ini. Respons peminat selepas seminggu dimuatkan di YouTube Rock Stage Entertainment (RSE) sangat baik.

“Mereka kata lagu ni agak berlainan dan mempunyai karakter sendiri. Orang sekali dengar pun dah tahu lagu nyanyian saya. Sebenarnya, ia taklah meniru Santana sangat.

“Muzik Santana hanya sebagai penambahan untuk sedapkan lagu. Peminat Def Gab C pun menantikan lagu ni dan minta saya kembali bersatu dengan anggota lain,” katanya.

Pun begitu, Asheed, 49, berkata, kewujudan Baling bukan bertujuan untuk dibanding-bandingkan dengan Santana.

“Bila saya dapat lagu ni, dalam kepala saya dari awal hingga habis keseluruhan dan tahu nak buat macam mana.

“Tapi kami bukan nak suruh orang bandingkan dengan Santana,” ujarnya.

Katanya, Baling mempunyai maksud istimewa buatnya kerana ia nama tempat kelahirannya di Kedah.

Bagaimanapun dalam konteks lagu berkenaan, Baling diilhamkan daripada senario industri muzik tanah air dan diterjermahkan secara sinikal.

“Ia berkaitan kritikan sosial terhadap sikap manusia. Macam kata pepatah Melayu, satu jari kita menuding ke arah orang, empat, lima orang akan menuding ke arah kita semula.

“Inilah sikap orang. Dah terkena baru nak terngadah dan berubah,” katanya

Menurut Asheed, 49, Baling kembali menonjolkan identitinya ketika bersama Def Gab C.

“Alhamdulillah...sekali lagi Rief SW bergandingan dengan Talib RSF sebagai pencipta dan penulis lirik lagu ni.

“Ia adalah kesinambungan kolaborasi kedua saya dengan RSE selepas Milik Kita yang mendapat sambutan positif daripada peminat.

“Saya gembira dapat bekerja dengan Rief SW dan Talib serta barisan pemuzik profesional yang terbabit dalam lagu ini iaitu Mus Satira (gitar), Yan Lefthanded (bass), Bakri Gerhana Ska (drum) dan Aman Keys Farasu (keyboard dan perkusi),” katanya.