Skip to main
Logo Malaysiakini

Aiman dipandang serong di UK, diragui beragama Islam di M'sia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun membesar di United Kingdom (UK), Aiman Nasir Wynne berkata, dia tetap bangga kerana hidup sebagai seorang Muslim di negara itu.

Kata bakat baru berkenaan, tidak mudah untuk membesar di UK memandangkan penganut Islam sering dipandang serong oleh masyarakat bukan Muslim di sana.

“Di UK ada saja Muslim, tapi orang bukan Islam suka menilai dan mereka juga meletakkan sesuatu imej pada Islam.

“Ketika di sekolah, kami tak diajar perkara positif pasal Islam. Semuanya adalah negatif,” tuturnya berkongsi cerita.

Namun, menurut Aiman, ramai yang mempersoalkan agama dianutinya ketika ini.

Mereka juga katanya, tidak memahami malah turut menuduhnya dengan dakwaan serius seperti bukan beragama Islam di media sosial.

“Mereka persoalkan agama saya. Islam di Malaysia dan UK ternyata berbeza. Di sini agama saling berkait dalam komuniti.

“Mungkin disebabkan ayah saya Melayu, ibu pula kelahiran UK. Kiranya saya separuh Melayu, tapi saya masih seorang Muslim dan amalkan cara hidup Islam sejak kecil.

“Saya juga berhijrah sebentar ke Kelantan untuk mendalami Islam dan budaya tradisi Melayu bersama pak cik dan mak cik saya,” jelasnya.

Lama kalau belajar sendiri

Untuk rekod, bapa Aiman merupakan anak Pasir Puteh, Kelantan, manakala ibunya kelahiran UK. Aiman pula kini menetap di Kuala Lumpur untuk mempelajari lebih lagi tentang budaya Malaysia.

Dia yang berusia 24 tahun kini berada di bawah syarikat pengurusan bakat Mask Team dan ingin serius menceburi bidang lakonan serta pengacaraan.

Dalam perkembangan lain, Aiman juga mahu sertai dunia seni hiburan dan bakal muncul dalam satu program travelog jelajah seluruh Malaysia.

Pada masa sama, Aiman mengakui kefasihannya berbahasa Melayu masih terhad, justeru dia gembira jika ada kenalan rapat mahupun peminat membiasakan diri bercakap bahasa Melayu dengannya

Menurut Aiman, ia adalah satu daripada inisiatif yang ada untuk dia lebih mudah dan fasih berbahasa Melayu mulai dari sekarang.

“Kalau belajar sendiri ia akan mengambil masa yang sangat lama, mungkin sampai empat tahun.

"Bagi saya, cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa adalah dengan bercakap menggunakan bahasa yang ingin dipelajari.

“Dulu, ketika membesar, saya bercakap dalam bahasa Inggeris, kemudian saya belajar pula kecek Kelate.

“Dan sekarang saya mahu belajar bahasa Melayu kerana saya mahu sertai dunia hiburan,” katanya.