Skip to main
Logo Malaysiakini

Petugas barisan depan, Adami Hairi akui perlu bijak bahagi masa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebagai petugas di barisan hadapan, Adami Hairi mengakui dia perlu bijak membahagikan masa antara satu lagi karier yang amat diminatinya, iaitu penyanyi dengan lebih baik.

Katanya, tugas yang dilakukannya di Unit Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Melaka itu memang memberi sumber pendapatan utama buatnya.

Namun, dari satu sudut yang lain, bakat baru itu juga mengakui dia tidak ingin ketinggalan untuk mengukuhkan namanya dalam persada seni tanah air.

“Kerja hakiki adalah sumber rezeki saya juga. Cabaran utama untuk saya sekarang adalah masa.

“Saya harus lebih bijak dalam membahagikan masa untuk kerja hakiki dan sebagai seorang penyanyi,” katanya dalam satu kenyataan.

Adami, 32, berkata, masih ramai yang belum menyedari kewujudan dirinya sebagai penyanyi selama ini.

Malah dia juga sedia maklum begitu ramai penyanyi baru yang hadirnya seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja wajah-wajah baru. Bagi saya, persaingan tu memang ada. Namun, saya yakin setiap penyanyi mempunyai genre berbeza-beza.

“Dan saya juga percaya pada rezeki Allah, bila ada usaha insya-Allah akan tercapai, bezanya cuma datang cepat atau lambat saja,” katanya.

Menurut Adami, suatu ketika dulu, segelintir rakan-rakannya tidak memberikan sokongan untuk dia terus berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Namun, katanya, dia berharap agar pendengar dapat menerima kehadirannya dalam bidang seni suara.

Justeru, Adami hadir dengan single sulung berjudul Forte, ciptaan sepenuhnya oleh Rosli Ahmad dan diterbitkan Radical Record Studio.

Katanya, ia berkisahkan penceritaan hidupnya dan betapa sukar dia untuk sampai ke tahap sekarang.

“Saya mahu buktikan pada mereka yang pernah merendah-rendahkan saya.

“Lagu Forte pernah berada dalam carta radio beberapa minggu di Melaka FM juga pernah menjadi juara carta. Alhamdulillah impian saya jadi kenyataan.

“Bagi saya yang masih baru lagi, saya rasa gembira apabila lagu ini diterima oleh pendengar. Apapun, saya akan terus memperjuangkan karya ini,” katanya.