Skip to main
Logo Malaysiakini

Individu berpelukan di AJL36 dikompaun RM1,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada sekumpulan individu yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) apabila berpelukan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof dalam satu kenyataan berkata, gambar itu dikesan polis selepas dimuat naik sebuah portal berita.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut kerana kegagalan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

“Kesemua individu yang terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan atas kesalahan ketidakpatuhan SOP PPN fasa 4 iaitu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tawaran kompaun RM1,000 sudah dikeluarkan kepada setiap individu terbabit mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan),” katanya dalam kenyataan semalam.

Naazron turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa patuh kepada SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang wabak Covid-19.

Pengajuran acara AJ36 pada tahun ini mengehadkan kehadiran kepada 200 orang penonton saja.

Malam kemuncak acara itu menyaksikan lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin serta dipersembahkan kumpulan indie, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan penyanyi Shila Amzah dinobat sebagai Juara Lagu.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang RM100,000 berserta trofi bersadur emas.