Skip to main
Logo Malaysiakini

Che Ta: Suami akan lebih hormati isteri jika sama-sama bekerja

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon terkenal, Rozita Che Wan, menitipkan pesan agar kaum wanita sering berpada-pada dan tidak menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada suami.

Katanya yang mesra disapa Che Ta itu, banyak isteri memilih untuk menjadi suri rumah sementara suami keluar bekerja namun ‘faedah’ adalah lebih tinggi jika sama-sama mencari nafkah.

“Dulu saya ada pengalaman suami bekerja manakala saya tidak. Tapi sebenarnya, lain yang berlaku jika kita pun sama-sama mempunyai kerjaya.

“Bagi saya, suami turut rasa bangga dan akan lebih hormat. Sebab tu kita jangan terlalu bergantung kepada suami,” tuturnya.

Sempena Hari Wanita yang disambut pada 8 Mac lalu, Che Ta ingin melihat kaum hawa sebagai individu kuat semangat yang mampu melaksanakan pelbagai tanggungjawab.

Kongsi isteri pelakon Zain Saidin itu, andai dulu wanita atau isteri lebih berada di belakang suami, seiring peredaran persepsi sedemikian seharusnya diubah demi terus memperkasakan wanita.

“Bagi saya wanita tak boleh lemah, tapi kena kuat dan rajin. Kalau suami diambil orang biarkan, jangan menangis.

“Lelaki ini ada dua saja, sama ada diambil orang atau meninggal dunia,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan sebagai duta kempen Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan di Kuala Lumpur kelmarin.

Che Ta, 51, turut berkongsi pengalaman melihat ibunya yang bekerja keras sendirian membesarkan mereka tujuh beradik selepas menjadi balu.

Menurutnya, dia kagum melihat orang tuanya itu bekerja keras mencari rezeki sendirian selepas pemergian bapanya.

“Mak saya, masa arwah ayah meninggal dunia dia baru berusia 35 tahun malah ketika tu emak dalam pantang melahirkan adik bongsu saya.

“Bayangkan adik beradik saya ada tujuh orang yang masih kecil. Sepanjang berkahwin emak tak pernah kerja namun dia mampu bangkit demi besarkan kami.

“Emak buat banyak benda untuk cari rezeki. Jadi takkan ketika saya pernah jadi ibu tunggal suatu ketika dulu saya tak boleh kuat macam emak,” katanya.