Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat bukti baru kes Tangmo

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Thailand dilapor sedang menyiasat satu bukti baru melalui video dipercayai rakaman sebelum mendiang pelakon Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong terjatuh ke dalam sungai bulan lalu.

Rakaman tersebut memaparkan seseorang sedang berdiri dan duduk di belakang bot yang dipandu laju sepanjang Sungai Chao Phraya pada malam kejadian.

Bagaimanapun, setakat ini, polis tidak menyatakan sama ada orang yang dilihat dalam rakaman berkenaan adalah Tangmo.

Pegawai Polis Jirapat Phumuchit berkata, penyiasat kini memperoleh bukti baru daripada video CCTV yang diambil dari bangunan di tepi sungai Chao Phraya.

“Bukti ni berguna kerana ia akan membantu penyiasat mendapatkan lebih kejelasan berhubung kes ni,” jelasnya.

Selain itu, menurut Jirapat, polis akan meminta pakar dari syarikat produksi untuk membantu meningkatkan kejelasan rakaman dan memeriksa koordinat GPS bot laju berkenaan.

Sementara itu, pengarah Institut Sains Forensik Pusat Kementerian Kehakiman, Songsak Raksaksakul berkata institut itu akan menubuhkan panel bagi menjalankan bedah siasat kedua mayat Tangmo sepertimana diminta ibu mendiang.

Katanya, pihaknya juga menjemput doktor dari institut lain untuk menyertai bedah siasat tersebut.

“Mayat Tangmo akan disimpan di Hospital Universiti Thammasat, dan pemeriksaan semula dijangka selesai dalam tempoh tak kurang daripada 30 hari,” tutur Songsak.

Mayat aktres itu sepatutnya sudah dibakar semalam. Tetapi  Panida Sirayuthyothin memohon penyiasat untuk memindahkan mayat tersebut ke institut untuk pemeriksaan semula.

Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI) Trairit Temahiwong pula berkata DSI akan menyiasat kes itu jika keluarga Tangmo meminta jabatan tersebut untuk berbuat demikian.

Sementara itu, sekumpulan peminat Tangmo yang ragu-ragu dengan hasil siasatan polis berkumpul ramai-ramai di hadapan ibu pejabat polis Jalan Rama 1, Bangkok sebagai tanda protes.

Perhimpunan membabitkan 2,000 orang penyokong itu memulakan gerakan dengan mewujudkan kumpulan berkenaan pada 11 Mac lalu melalui aplikasi Line.