Skip to main
Logo Malaysiakini

Pija Yasin harap ihsan penaja untuk ke AS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pija Yasin berharap ada pihak sudi membantu melancarkan perjalanannya selaku wakil Malaysia ke peringkat dunia dalam World Championship of Performing Arts (WCOPA) di California, Amerika Syarikat (AS), Julai depan.

Juara Mentor musim pertama itu mengakui bukan mudah untuknya mencari dana sendiri dalam tempoh terdekat selepas berjaya meloloskan diri dalam pertandingan nyanyian berkenaan.

Justeru, pemilik nama asal Norafizah Mohd Yasin itu mengharapkan tajaan daripada pihak kementerian, badan kerajaan dan wakil rakyat untuk memudahkan perjalanannya ke sana.

Katanya, dia ke sana bukan sekadar suka-suka tetapi untuk mencari pengalaman dan membawa nama Malaysia bersaing di persada dunia bersama negara-negara lain.

“Buat masa sekarang saya masih bergelut untuk cari penaja dan kumpul dana sebanyak RM25,000 bagi melunaskan pembayaran deposit sebelum penghujung bulan ini.

“Saya juga ada merancang untuk meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Bung Moktar Radin kerana sebelum ini dia pernah menaja adik saya.

“Selain itu, saya juga ada menghantar surat rasmi untuk minta tajaan kepada beberapa kementerian lain,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Pija, penyanyi Thalia Rasul dan Ashira turut terpilih untuk bertanding dan juga sedang giat mencari penaja.

Menurut Pija, 33, usahanya itu dilakukan selepas lebih sedekad dia hilang dari radar industri dan menyusun langkah untuk kembali aktif.

Kata anak kelahiran Sabah itu, dia sudah lama merancang untuk kembali aktif dan berasakan tahun ini adalah cukup sesuai untuknya berbuat demikian.

“Sejujurnya dari dulu lagi saya teringin untuk kembali aktif. Cuma sekarang saya rasa adalah masa yang tepat sebab anak-anak pun dah besar dan boleh bawa diri,” tuturnya.

Pun begitu, Pija akur apabila dia terpaksa berpisah dengan tiga cahaya matanya yang kini berada di Kota Kinabalu.

Penyanyi itu yang merancang untuk tampil dengan single baru selepas pulang dari WCOPA juga yakin keputusan yang dibuatnya adalah tepat.

“Sejujurnya dari dulu lagi saya teringin untuk kembali aktif. Cuma sekarang saya rasa masa yang tepat sebab anak-anak pun dah besar dan boleh bawa diri.

“Keluarga dan orang di sekeliling saya juga menyokong keputusan saya untuk kembali aktif.

“Secara tak langsung sokongan mereka menjadi penguat semangat untuk saya teruskan perjuangan,” jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan suami mengenai keputusannya untuk kembali aktif dalam persada seni tanah air, Pija pada awal keberatan untuk memberi komen.

Namun, adik kepada penyanyi Naufara Yasin itu akhirnya mengakui mereka sebenarnya kini dalam proses perceraian.

“Sekarang anak-anak tinggal bersama suami dan mertua. Mereka pun menyokong dan tidak ada halangan untuk saya berjumpa anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi itu memilih untuk merahsiakan punca keretakan rumah tangga mereka.

“Sekarang anak-anak tinggal bersama suami dan mertua. Mereka pun menyokong dan tidak ada halangan untuk saya berjumpa anak-anak.

“Tapi sebab apa saya memilih untuk bercerai, biarlah rahsia,” katanya.