Skip to main
Logo Malaysiakini

Ogy kian bosan dengan penggiat 'lacurkan' seni

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Fauziah Ahmad Daud mengakui dia semakin kecewa dengan budaya dan mutu kerja dalam industri sinema tempatan yang disifatkannya semakin merosot.

Pelakon berkaliber yang mesra disapa Ogy itu berkata, mereka yang bekerja di belakang tabir sering tidak faham tanggungjawab mahupun mempunyai pemikiran kritis dalam menguruskan skop kerja masing-masing.

“Saya kecewa dengan budaya kerja belakang tabir industri kita. Saya bosan dengan mereka yang lacurkan seni.

“Saya dulu disuruh pasang kabel, pasang itu ini sebab nak belajar namun sekarang usaha seperti itu tiada dan budaya kerja generasi sekarang dah songsang.

“Misalnya, penolong pengarah hanya tahu buat jadual. Boleh berdebat dengan saya, sebab kerja yang kamu buat tu, saya dah buat,” katanya.

Ogy, 60, berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan filem pendek pertama arahannya, Asrar di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur semalam.

Asrar diterbitkan Syarikat Ogy Ventures dan Network Sdn Bhd dengan kerjasama DBP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Mengulas lanjut, Ogy bertegas bahawa dia bersuara demi kemajuan industri kreatif tanah air kerana sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membetulkan budaya atau amalan kerja yang dirasakan salah.

Menambah kekecewaannya, kata seniwati itu, generasi sekarang kebanyakannya tidak boleh ditegur.

“Macam mana industri kita nak maju kalau asyik terus begini? Saya nak betulkan urat-urat saraf yang dah haywire (kusut).

“Orang cakap usia saya dah 60 tahun, pergi bersara, saya tak nak sebab saya nak betulkan dan fahamkan tanggungjawab sebagai orang seni.

“Tapi mereka ni ego tak bertempat. Kemudian cakap kita pula diva. Eh nak saja aku cakap 'aku bukan diva, aku lejen okey',”getusnya.

Ogy menceritakan bagaimana dia pernah berguru dengan rami penggiat seni yang bukan calang-calang yang banyak mengajarnya selok balik dalam industri.

“Saya berguru bukan dengan calang-calang orang. Allahyarham Jins Shamsuddin dan Saadiah antara guru saya dan mereka bukan orang yang 'asal boleh',” katanya.

Sementara itu, mengulas karya arahannya Asrar - selepas 50 tahun berkecimpung dalam dunia industri - Ogy menjelaskan ia hadir bagi mengubati kekecewaanya dengan budaya kerja sedia ada.

Katanya, dia ingin mendidik generasi muda yang ingin berkecimpung dalam industri agar menghasilkan budaya kerja yang produktif.

Dalam filem pendek itu, Ogy bekerjasama dengan tenaga produksi yang rata-ratanya pelajar daripada bengkel lakonan kelolaannya sekitar November tahun lalu.

Asrar boleh ditonton menerusi pembelian khas secara atas talian dalam laman web rasmi Ogy Venture & Network.

Skrip filem berkenaan ditulis oleh Slen Fadzil dan merupakan adaptasi daripada karya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) hasil tulisan Baharuddin Kahar berjudul Terima Kasih, Tuhanku.