Skip to main
Logo Malaysiakini

Putra Amaris mahu bantu 1,000 keluarga asnaf

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menyedari masih ramai yang terjejas akibat Covid-19 meskipun Malaysia bakal memasuki fasa endemik tidak lama lagi, Putra Amaris tampil membantu 1,000 keluarga melalui program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan.

Pelakon dan usahawan itu memaklumkan dia akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas termasuk golongan asnaf.

Menurutnya, program berkenaan akan disasarkan kepada golongan memerlukan dengan harapan­ dapat meringankan beban dan pada masa sama membantu mereka bangkit membinasemula kehidupan.

“Sasaran kami adalah untuk bantu golongan serba kekurangan termasuk mereka yang terjejas akibat Covid-19, golongan kurang upaya, anak-anak yatim, gelandangan dan selebriti.

“Kami sendiri akan pergi ke rumah keluarga yang terpilih untuk menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan sedia dimasak dan pelbagai lagi.

“Selain tu, kami akan beri beras, telur dan barangan keperluan lain,” katanya yang sebelum ini dikenali dengan nama Amran Ismail.

Amaris berkata demikian dalam satu majlis sidang media di Hotel Eastin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bina sebuah rumah untuk asnaf

Selain itu, Amaris, 36, bersama Dapur Pasak turut merancang untuk membina sebuah rumah bagi menempatkan sebuah keluarga asnaf terpilih.

Katanya, kos rumah yang dijangka siap sepenuhnya beberapa hari sebelum Syawal itu dianggarkan bernilai RM80,000 hingga RM100,000.

“Saya memang dah lama niat nak bina rumah buat golongan asnaf tapi kalau buat sendiri memang saya tak mampu sebab diri sendiri pun bukan orang kaya.

“Bagaimanapun ada rakan saya yang turut mempunyai misi sama dan Insya-Allah, kami akan realisasikan impian tu.

“Setakat ini mengikut perancangan, projek Rumah Baru Asnaf itu akan bermula pada 1 Ramadan dan dijangka siap sebelum 1 Syawal,” katanya.

Walaupun mustahil untuk menyiapkan sebuah rumah dalam tempoh kurang sebulan, Amaris berharap impian tersebut tetap akan terlaksana.

“Secara tak langsung, dapatlah keluarga tersebut meraikan hari lebaran di rumah baru,” ujarnya.

Dia juga memaklumkan keluarga terpilih itu akan tinggal di Hotel Eastin secara percuma sepanjang proses pembinaan rumah itu dijalankan.

Pada masa sama Amaris memaklumkan pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berkemampuan untuk sama-sama menghulurkan sumbangan dalam program ini.

“Alhamdulillah setakat ni kami terima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk beri sumbangan.

“Saya alu-alukan jika ada jutawan, syarikat korporat, badan bukan kerajaan atau individu berkemampuan untuk hulur sumbangan supaya kita dapat bantu lebih ramai lagi,” katanya.