Skip to main
Logo Malaysiakini

'Selangor sedia kurangkan atau kecualikan cukai hiburan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor bakal membuat pengumuman berhubung cukai hiburan yang dikenakan di negeri itu, sama ada dengan mengurangkan atau mengecualikannya untuk artis tempatan yang terlibat dalampementasan.

Menyifatkannya sebagai berita baik, menteri besarnya Amirudin Shari berkata keputusan akan dibuat sebelum 1 April ini.

“Kerajaan negeri menginsafi cabaran yang dihadapi artis tempatan dalam bidang pementasan secara langsung dan bersedia mengurangkan atau mengecualikan cukai hiburan bagi kumpulan ini.

“MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) akan membuat keputusan sebelum 1 April 2022 dan InsyaAllah ada berita baik buat industri ini,” ciapnya di Twitter semalam.

Sebelum ini, golongan industri hiburan tempatan meluahkan rasa tidak puas hati berhubung cukai hiburan sebanyak 15 peratus ke atas penganjuran persembahan pentas dan seni yang dikira tidak wajar sewaktu ramai yang bergelut dengan pandemik.

Antara keluhan yang dibangkitkan beberapa pelawak yang ditemubual Malaysiakini adalah mereka perlu membayar cukai tersebut terlebih dahulu sebelum mendapat kebenaran membuat persembahan, di saat jualan tiket belum tentu dapat menebus bayaran yang dibuat.

Ia juga menjadi masalah buat penerbit yang mempunyai modal kecil atau tiada modal langsung, kata pelawak komediri, Kavin Jay.

Isu ini dibangkitkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika perbahasan DUN pada 8 Disember lalu.

Tiga hari kemudian, Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah membuat penjelasan berhubung pelaksanaan cukai hiburan 15 peratus terhadap persembahan bertiket yang telah diturunkan daripada kadar asal iaitu 25 peratus.

Kenyataannya itu hadir selepas mereka yang berada dalam industri berkenaan meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Amirudin bahawa kerajaan negeri kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan sebelum ini.

Antaranya merupakan kesan daripada penutupan panggung wayang ketika perintah kawalan pergerakan diadakan sewaktu Covid-19 melanda negara.