Skip to main
Logo Malaysiakini

Fazura tak mahu buat gimik merapu demi produk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon, penyanyi dan usahawan, Fazura menolak untuk memilih jalan singkat bagi melariskan produk jualannya dengan melakukan gimik pemasaran yang disifatkan murahan.

Sebaliknya ujar isteri Fattah Amin itu, apa yang dilakukannya sentiasa berpaksikan nawaitu (niat) agar rezeki datang sendiri kerana aturan Allah SWT.

“Rezeki Allah sentiasa ada untuk kita. Alhamdulillah, Faz (Fazura) tak pernah buat gimik untuk lariskan produk.

“Tapi jika ditakdirkan ada rezeki yang hadir, Faz bersyukur sangat sebab tak perlu buat perkara-perkara merapu.

“Memang Faz percaya sebelum berbuat sesuatu, pastikan dulu apa niat tu supaya kerja dapat dilakukan dengan telus,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu, pada masa sama bertegas dia sentiasa mengelak budaya tikam-menikam atau cuba menjatuhkan perniagaan orang lain yang biasanya terjadi ekoran timbul perasaan iri hati.

Bagi pelakon Langit Cinta itu, dia mengelak berbuat perkara negatif kerana enggan sesuatu yang buruk menimpa perniagaan diusahakannya.

“Kalau buat untuk viral, popular atau nak bersaing dengan jenama lain tapi niat tak elok pasti menemui kegagalan.

“Jika nak kekayaan datang sendiri kerana Allah, bersihkan dulu niat sebelum buat apa-apa, insya-Allah, akan dipermudahkan-Nya,” tutur Fazura.

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada Baraqah majlis pelancaran koleksi telekung Fazura X Muhayya, di Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkongsi perkembangan lain, Fazura, 38, menjelaskan dia teruja untuk kembali berlakon namun meletakkan syarat tertentu sebelum menerima sesuatu tawaran.

Jelas ibu anak satu itu, dia kini tertarik jika mendapat peluang menjayakan karakter yang lebih menjurus ke arah perjuangan dan semangat kental seorang wanita.

“Saya serik untuk melakonkan watak berkaitan percintaan tiga segi, termasuk wanita yang berebut lelaki dalam karya.

“I’m done. Saya dah tak nak buat (lakonkan) watak sama. Kita wanita tak perlu menangis sebab lelaki. Saya nak lakonkan sesuatu naskhah yang membawa manfaat.

“Jika dipermudahkan dan Allah izinkan, lepas Raya, saya akan berlakon sebuah drama bersiri. inilah hadiah untuk semua yang rindukan lakonan saya,” katanya.

Sementara itu, berkongsi keterujaan kerana kerjasama mengeluarkan jenama telekung bersama pakai bedah dan motivasi, Dr Muhaya Mohamad, Fazura berkata, dia sudah lama meminati produk keluaran figura popular itu.

“Bila terima mesej pesanan ringkas dr bonda untuk bekerjasama bagi koleksi telekung bersama jenamanya, Muhayya Magical, saya amat gembira kerana dia antara insan yang saya kasihi.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana termakbulnya hasrat saya,” katanya.