Skip to main
Logo Malaysiakini

Zul Ariffin beri keterangan selama 2 jam di SKMM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon kontroversi, Zul Ariffin hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberi keterangan susulan memuat naik video aksi ghairah hingga tular di media sosial baru-baru ini.

Aktor itu berkongsi perkara tersebut di Instagram malam tadi. Dia dikatakan tiba di pejabat tersebut sekitar jam 10 pagi semalam dan selesai memberi keterangan kira-kira dua jam kemudian.

“Hari ini (semalam) saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SKMM berhubung siasatan penerbitan drama bertajuk Perempuan Itu,” katanya.

Video aksi ‘panas’ lakonan Zul bersama pelakon Siti Hariesa dimuat naik pada 18 Mac lalu mengundang perhatian ramai termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Menurutnya, perkongsian dibuat Zul Ariffin ternyata menyalahi undang-undang selain menegaskan adegan tersebut adalah dilarang untuk tontonan umum.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Pelakon Penunggang Agama itu telah memadamkan klip yang dimuat naik dan memohon maaf serta berjanji untuk lebih berhati-hati dalam memuat naik perkongsian di media sosial.

“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respons dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan.

“Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” tulisnya.