Skip to main
Logo Malaysiakini

Arwah Ghani produk 'eksperimen' berjaya Studio Merdeka

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Apabila Ghani Aziz meninggal dunia pada 15 Mac lalu, cuma ada seorang dua yang berkongsi mengenai khabar berita itu di Facebook. Akhbar arus perdana lagilah sepi, televisyen pula usahlah bermimpi.

Seolah-olah lelaki itu tiada jasa apa-apa dalam dunia seni tanah air, terutama lakonan.

Dilahirkan pada 18 Sept 1954, Ghani ialah pelakon kanak-kanak terawal dilahirkan Studio Merdeka di Hulu Klang, Selangor. Bakat lakonannya diuji dalam filem Dajal Suci arahan Dhiresh Ghos pada 1965.

Kehadiran Ghani bak eksperimen buat Studio Merdeka yang julung-julung kali menonjokan kanak-kanak sebagai pendukung watak utama.

Filem ke-17 terbitan studio itu juga ujian buat Dhiresh kerana sejak beroperasi pada 1960, Studio Merdeka cuma bergantung kepada L Krishnan, Salleh Ghani dan P Ramlee.

Tiga pengarah lain - AR Tompel, M Maroeti dan Freedy Young - cuma diberi peluang sekali saja oleh Studio Merdena. Namun dengan tuah Dajal Suci lakonan Ghani, Dhiresh diberi peluang lagi mengarah.

Antara hasil tangan Dhiresh di Studio Merdeka ialah Bumiputera (1965) dan Gadis Langkawi (1966).

Sewaktu bertemu Ghani di kediamannya di Ulu Yam, Selangor suatu ketia dulu, dia menceritakan bahawa tidak mudah untuk mendapat kepercayaan membawakan watak Leman dalam Dajal Suci.

"Usia saya 11 tahun ketika itu," kata Ghani, "dan terpaksa bersaing dengan 11 kanak-kanak lain ketika dipanggil untuk sesi uji bakat."

Menurutnya, yang membuatkan dia teruja pada sesi uji bakat itu ialah pembabitan P Ramlee secara langsung. Memang kalau mengikut perancangan awal, Dajal Suci bakal diarahkan seniman agung tersebut, namun akhirnya ia diserahkan kepada Dhiresh.

"Saya masih ingat apa sahaja disuruh P Ramlee saya ikut.

"Dia minta saya keluarkan air mata, terus saya menangis. Lalu P Ramlee cakap kepada seorang dua pegawai studio: 'This boy can act.'

"Tapi biarpun saya tak dapat berlakon bawah arahan P Ramlee, saya tetap berbangga kerana Dhiresh Ghos juga pengarah filem Melayu yang terkenal sejak studio di Jalan Ampas, Singapura," katanya.

Terikat dengan pelajaran

Dalam Dajal Suci, Ghani berdampingan dengan Sofia Ibrahim yang menjadi ibunya; selain Mahmud June, Ali Rahman, Darus Shah dan Idris Hashim.

Biarpun masih mentah dalam selok-belok dunia lakonan, Ghani ada rahsia untuk membawakan watak anak cacat dalam Dajal Suci sehingga aksinya dalam filem itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

"Saya membaca skrip berulang kali untuk menghayati watak Leman. Tak mudah bawa watak budak cacat, tapi saya gembira sebab lepas Dajal Suci ditayangkan, ramai yang memanggil saya Leman," katanya.

Pun begitu hasrat Ghani untuk serius menjadi pelakon tidak kesampaian kerana terikat dengan pelajaran.

Kemudiannya Ghani - semasa usianya belasan tahun - mengikuti jejak ibunya, Saleha Yahya, menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saleha bersara daripada pasukan keselamatan itu dengan pangkat sarjan.

Didapatkan menteri kanan

Sungguhpun begitu bakat seni yang ada pada Ghani tidak dipersiakan apabila semasa tidak bertugas, Ghani menyertai Saadiah Dancers dan kumpulan nasyid Orkes Sinar Murni pada era 1970-an.

Kumpulan nasyid itu sempat menjalani dua rakaman di Singapore Broadcasting Channel.

Ghani bertugas di Cawangan Cop Jari dan meninggalkan PDRM pada 1994 dan kemudian menjadi eksekutif sebuah syarikat keselamatan. Dia seterusnya menjadi pengacara majlis serta pengurus produksi untuk beberapa syarikat filem.

Biarpun Ghani tidak sempat membawa kejayaan buat Studio Merdeka, namun studio itu tentu berbangga kerana seorang lagi 'produk' kanak-kanaknya, Aziz M Osman, kemudian merangkul anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Ke-22 di Korea Selatan pada 1975.

Pada sisi lain, ramai tidak menyedari Ghani ialah abang sepupu kepada dua personaliti terkenal, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, serta Azwan Ali (Diva AA).

Bakat pengacaraan Ghani itulah mungkin mengalir ke dalam diri Diva AA tanpa disedari.

Semasa menjadi pengacara, pernah terjadi detik lucu. Pada majlis itu Azmin - ketika itu menjadi menteri besar Selangor - hadir sebagai tetamu kehormat. Apabila dia terdengar saja suara Ghani, Azmin terus mendapatkan abang sepupunya itu.

Ghani menghembuskan nafas terakhir semasa berusia lingkungan 67 tahun pada 15 Mac lalu. Dia pernah menjalani pembedahan jantung pada Dis tahun lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Seri, Batang Kali.