Skip to main
Logo Malaysiakini

Hael 'layan' tuduhan buat pembedahan plastik dengan senyum

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hael Husaini hanya tersenyum apabila dia diajukan soalan berhubung tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dia menjalani pembedahan plastik pada wajahnya.

Penyanyi itu juga menawab, dia langsung tidak tahu bagaimana spekulasi sedemikian boleh tercetus.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Reaksi saya hanya mampu tersenyum saja.

“Apa boleh saya katakan, makin usia kita meningkat usia semakin kita pandai jaga diri.

“Waktu muda dulu mungkin saya tak memikirkan soal penampilan sangat, tapi bila dah makin tua dengan sendirinya kita semakin ambil tahu dan lebih berdisiplin,” katanya.

Pun begitu, penyanyi Kelentang Kelentong itu mengakui ada terdengar tuduhan berkenaan.

Hael berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Cahaya Festira Festival Ramadan Selangor 2022 yang diadakan di SACC Mall, di Shah Alam hari ini.

Menarik depan kamera

Festival anjuran PKNS Real Estate (PREC) itu adalah acara tahunan yang khusus untuk menyokong agenda kerajaan negeri membantu usahawan kecil sederhana serta pengusaha tempatan.

Festival terbesar Ramadan itu juga menyasarkan 3.5 juta pembeli sebelum era pandemik.

Hael, 33, berkata spekulasi itu wujud mungkin disebabkan penampilannya yang kemas dan selalu dititikberatkan oleh syarikat pengurusan.

Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana pihak pengurusan berkenaan amat menitikberatkan soal penampilan selain aspek nyanyian.

“Saya akui dulu tak ada pasukan di belakang, semua buat sendiri. Sekarang kerja-kerja saya diuruskan oleh pasukan yang profesional.

“Kalau dulu, umpamanya saya sikat rambut dan pakai gel rambut sendiri saja, sekarang dah ada pasukan yang siapkan.

“Boleh dikatakan adalah perubahan tu dari semasa ke semasa untuk saya tampil menarik depan kamera," katanya.