Skip to main
Logo Malaysiakini

TV Alhijrah ambil pengajaran, janji lebih berhati-hati

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Stesen televisyen Alhijrah hari ini memaklumkan pihaknya mengambil iktibar isu Kak Long 7E yang dijemput sebagai tetamu dalam program Trending.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, berkata pada mulanya mereka menjemput individu terbabit selepas dia membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Apabila kami terbitkan program Trending, ia sebenarnya berbeza dengan program tular stesen TV lain.

“Untuk program Trending di TV AlHijrah, kami angkat isu-isu tular dan ketengahkan bagaimana seseorang Muslim memberi reaksi terhadap sesuatu isu yang berlaku,” katanya.

Menurut Namanzee, pihaknya beranggapan wanita terbabit telah pun berlaku jujur.

“Kami tak pernah memilih bulu dan pada ketika program itu dirakamkan, individu tersebut telah pun menzahirkan permohonan maaf secara umum,” katanya.

Namanzee berkata demikian pada Pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Program Trending tak ditangguh

Menurutnya, kehadiran Isfadiah Mohd Dasuki pada program itu juga bertujuan memberi tazkirah kepada wanita berkenaan berhubung perkara yang sepatutnya dilakukan atau tidak dilakukan.

“Saya rasa ada berlaku salah faham terutama apabila hos jemputan mempromosikan episod ketika tu, iaitu bila selesai rakaman, dia ambil gambar bersama. Ia seolah-olah menggambarkan kami mengangkat individu itu.

“Bagi saya, ustazah tu beri pengajaran dan mesej yang disampaikan dengan sangat baik. Sebelum ni, tetamu yang hadir dalam program viral juga beri manfaat kepada orang lain. Cuma mereka tak viral.

“Kami mengambil pengajaran dan berlapang dada dengan apa yang sudah berlaku serta lebih berhati-hati di masa hadapan,” tuturnya.

Mengulas penayangan rakaman itu kepada umum, Namanzee berkata, setakat ini TV Alhijrah belum mempunyai sebarang perancangan.

“Program Trending tak ditangguhkan, hanya episod tu yang kami simpan. Selagi individu tu ada beberapa isu yang terkait (dengannya), kami tak akan tayang,” katanya.

Sementara itu, Namanzee mencadangkan agar rakyat negara ini memberi peluang kepada TV Alhijrah untuk belajar memperbaiki kesilapan mereka dan tidak menilai mereka berdasarkan hanya satu kejadian.

“Saya sarankan beri peluang, lihat aplikasi kami, program yang ditayangkan sepanjang Ramadan dan tonton sendiri program Trending.

“Saya tahu apa yang diminta ini berat, tapi saya harap semua dapat bersikap adil dan tak menilai kami hanya kerana satu perkara.

“TV AlHijrah tidak eksklusif kepada agamawan. Artis, pempengaruh media sosial juga boleh masuk ke stesen kami,” katanya.