Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun ajak tonton Gila Gusti secara percuma malam ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Warga Pulau Pinang berpeluang menonton filem tempatan pertama yang bertemakan dunia gusti profesional di Malaysia, Gila Gusti, secara percuma malam ini.

Minat mendalam Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, dalam bidang sukan dan muziklah yang membuka laluan kepada pengundinya untuk menyaksikan filem arahan Silver Chung itu.

Syerleena yang juga pemain gitar dan penulis lirik band progresif rock, Priwayat, menjelaskan kini sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini memberi sokongan kepada bakat tempatan.

“Ada beberapa sebab mengapa anda harus menyokong filem ini.

"Sesungguhnya membantu mempromosi bakat tempatan sering menjadi keutamaan buat saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Syerleena, produksi tempatan kadangkala tidak mendapat layanan sama seperti produksi antarabangsa dan itu amat merugikan kerana Malaysia memiliki banyak bakat yang mendominasi industri kreatif.

Gila Gusti berkisahkan dua rakan yang memulakan usaha peribadi untuk membantu salah seorang ahli gusti kegemaran mereka, Naga, untuk memenangi pertarungan selepas hilang semangat kerana kalah.

Ia dibintangi oleh pengasas gusti profesional Malaysia, Ayez Shaukat-Fonseka dan Nor Phoenix Diana.

Filem itu turut dibintangi artis tanah air seperti Syafie Naswip, Jalaluddin Hassan, Elizabeth Tan, Pekin Ibrahim dan Nia Atasha.

Syerleena pada masa sama berkata ketika negara beralih ke fasa endemik, dia secara peribadi ingin menyampaikan mesej positif memandangkan industri kreatif, pelancongan dan sukan terjejas teruk dengan perintah kawalan pergerakan selama hampir dua tahun.

Tayangan percuma Gila Gusti itu akan diadakan di Queensbay Mall, di Bayan Baru pada jam 8 malam ini.